LUAR NEGARA

57 maut di Gaza ketika Trump gesa gencatan senjata

GAZA – Sekurang-kurangnya 57 penduduk Palestin terbunuh dalam siri serangan udara baharu rejim Zionis di Gaza semalam ketika Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menggesa Israel menghentikan operasi ketenteraan dan memberi laluan kepada gencatan senjata segera.

Pegawai kesihatan tempatan memaklumkan, 18 mangsa termasuk kanak-kanak maut dalam serangan Israel ke atas sebuah rumah di kawasan Tuffah, bandar Gaza, manakala baki korban terbunuh dalam beberapa serangan udara berasingan yang turut memusnahkan beberapa bangunan berhampiran.

Trump melalui platform Truth Social berkata, Israel telah bersetuju dengan garis pengunduran awal dari Gaza dan menegaskan gencatan senjata akan berkuat kuasa sebaik Hamas dan Jihad Islam Palestin mengesahkannya.

“Saya tidak akan bertolak ansur dengan kelewatan atau apa-apa keputusan di mana timbul ancaman di Gaza lagi.

“Mari kita selesaikan ini, cepat. Semua orang akan dilayan secara adil,” kata Trump.

Hamas sebelum ini menyatakan persetujuan terhadap beberapa terma penting perjanjian damai termasuk pengunduran tentera Israel dan pertukaran tebusan.

Namun, isu pelucutan senjata yang menjadi tuntutan utama Israel masih dibincangkan.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menegaskan bahawa fasa pertama rancangan memerlukan Hamas membebaskan tebusan sebelum tentera Israel menempatkan semula kawalan mereka di Gaza.

Utusan Trump, Steve Witkoff dan Jared Kushner dihantar ke Mesir untuk memuktamadkan butiran teknikal pembebasan tebusan dan rundingan damai yang lebih luas dengan Mesir akan menjadi tuan rumah perbincangan delegasi Israel dan Hamas pada Isnin ini.

Rancangan itu disokong ramai rakyat Israel, manakala Hamas dan kumpulan Jihad Islam Palestin menunjukkan kerjasama yang berpotensi mewujudkan keamanan yang berkekalan.

Walaupun langkah diplomasi itu membuka peluang kepada penyelesaian konflik paling berdarah sejak 1948, situasi di Gaza masih genting dengan krisis kemanusiaan yang berterusan dan jutaan rakyat kehilangan tempat tinggal akibat peperangan.

Trump menegaskan keyakinannya bahawa Hamas bersedia untuk keamanan, sambil menggesa Netanyahu menghentikan serangan udara dan memberi laluan kepada proses gencatan senjata serta pertukaran tebusan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button