Pembangunan semula Gaza: Malaysia terima jemputan Mesir, Perancis sebagai penyelaras bersama
KUALA LUMPUR – Mesir dan Perancis sudah menjemput Malaysia sebagai penyelaras bersama kepada usaha pembinaan semula Gaza.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika mengesahkan perkara itu turut berkata, Malaysia akan menghadiri Persidangan Antarabangsa Pembinaan Semula Gaza yang dijadual diadakan di Mesir, November ini.
“Saya juga dihubungi rakan sejawat dari Mesir dan Perancis kerana dua negara ini yang membuatkan ‘Deklarasi Bersama’ dan sebagai penganjur, mereka menjemput Malaysia.
“Malaysia dijemput sebagai co-convener (penyelaras bersama) kepada usaha pembinaan semula di Gaza. Jadi kita akan ke sana,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.
Mohamad turut berkata, Malaysia akan memastikan dapat menyumbang kepada pembangunan semula Gaza supaya dapat dikongsi bersama masyarakat antarabangsa.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad berkata, melalui mesyuarat menteri luar negara Islam, Malaysia sudah menyatakan akan bersama dengan sebarang keputusan ditetapkan pada rundingan berkenaan yang diadakan bagi menguruskan pasca konflik di Gaza.
Jelas beliau, Malaysia juga menyatakan pendirian secara dasar untuk menghantar tentera pengaman ke Gaza dengan mandat daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Sebenarnya Malaysia dijemput (dalam mesyuarat itu) tetapi kerana saya berada di Korea, dan tak ada kesempatan nak ke sana, namun kita menghantar wakil.
“Saya memberitahu rakan sejawat daripada Turkiye bahawa Malaysia bersama dengan apa juga yang hendak diputuskan.
“Dalam soal pasukan pengaman, kita tidak pernah gagal jika ada pelawaan daripada PBB. Tetapi dengan syarat, mesti ada mandat sebab kita tidak boleh menghantar pasukan pengaman tanpa mandat,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








