SU Agung PBB rayu agar Israel hentikan serangan di Gaza
GAZA – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, merayu agar Israel menghentikan serangan di Gaza serta membebaskan orang awam susulan krisis kemanusian yang semakin meruncing pada ketika ini.
“Bagi orang yang diarahkan berpindah, tidak ada tempat yang selamat untuk dituju dan sangat kurang peluang untuk terus hidup,” kata jurucakap PBB, Stephane Dujarric.
Memetik laporan Reuters, puluhan rakyat Palestin termasuk mereka yang diarahkan mencari perlindungan oleh Israel telah terbunuh dan cedera akibat bedilan serangan udara Israel di kawasan selatan Semenanjung Gaza semalam, kata orang awam dan wartawan.
Menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza, kira-kira 900 orang terbunuh dalam serangan udara Israel sejak gencatan senjata berakhir pada Jumaat.
Selain itu, sekutu Israel, Amerika Syarikat (AS), dalam kenyataannya sudah berulang kali menggesa orang awam diberi lebih perlindungan dan berkata serangan Israel di selatan tidak seharusnya berulang dengan ‘jumlah orang awam yang besar’ menjadi mangsa seperti di utara.
Semalam, Israel juga mengarahkan rakyat Palestin meninggalkan sebahagian bandar utama selatan Gaza, Khan Younis, namun penduduk berkata, kawasan yang mereka diarahkan untuk pergi juga berdepan serangan.
Sementara itu, tentera Israel dalam satu hantarannya di X telah menyiarkan peta dengan satu perempat daripada Khan Younis ditandai dengan warna kuning sebagai wilayah yang mesti berpindah segera.
Tiga anak panah menghala ke selatan dan barat, mengarahkan orang ramai untuk menuju ke arah pantai Mediterranean dan ke arah Rafah, sebuah bandar utama berhampiran sempadan Mesir.
Penduduk Gaza yang terdesak di Khan Younis mengemas barang-barang mereka dan menuju ke Rafah. Kebanyakannya berjalan kaki, berjalan melepasi bangunan yang musnah.
Menurut Ketua agensi PBB bagi pelarian Palestin di Gaza (UNRWA), Thomas White, berkata penduduk di Rafah sendiri terpaksa melarikan diri.
“Orang ramai merayu untuk mendapatkan nasihat mengenai tempat yang selamat. Kami tidak mempunyai apa-apa untuk diberitahu kepada mereka,” katanya di X.
Kementerian Kesihatan berkata, sekurang-kurangnya 15,899 rakyat Palestin, dengan 70 peratus daripadanya wanita atau bawah 18 tahun, kini terbunuh dalam pengeboman Israel di kawasan yang diperintah Hamas dalam lapan minggu peperangan.
Ribuan lagi juga dilaporkan hilang dan dikhuatiri tertimbus di bawah runtuhan bangunan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








