Kedutaan nasihat rakyat Malaysia di Kemboja elak sempadan
KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia di Kemboja dinasihatkan supaya mengelak memasuki beberapa kawasan di sepanjang sempadan Thailand-Kemboja susulan ketegangan ketenteraan yang semakin meningkat antara kedua-dua negara jiran itu.
Menurut kenyataan Kedutaan Malaysia di Phnom Penh yang dikongsikan Wisma Putra, kawasan yang disenaraikan adalah wilayah Preah Vihear, Oddar Meanchey, Banteay Meanchey, Battambang dan Pursat.
“Memandangkan situasi antara Kemboja dan Thailand, warganegara Malaysia di Kemboja dinasihatkan supaya mengelakkan perjalanan tidak penting ke wilayah Preah Vihear, Oddar Meanchey, Banteay Meanchey, Battambang dan Pursat sehingga dimaklumkan kelak.
“Warganegara Malaysia di Kemboja turut dinasihatkan untuk sentiasa mendapatkan maklumat melalui sumber berita yang sahih serta mematuhi segala arahan dan nasihat yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan.
“Sekiranya memerlukan bantuan, rakyat Malaysia di sana boleh menghubungi talian hotline 24 jam: +855 12 216 176, e-mel ke mwphnompenh@kln.gov.my atau layari laman webnya di pautan https://www.kln.gov.my/web/khm_phnom-penh/home,” katanya.
Konflik sempadan antara Kemboja dan Thailand yang berlarutan lebih 100 tahun kembali memuncak pada Julai lalu, mencetuskan pertempuran selama lima hari antara pasukan tentera kedua-dua negara.
Ketegangan itu akhirnya mereda selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan gencatan senjata di Kuala Lumpur pada 24 Julai, yang disusuli pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur pada 26 Oktober bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, disaksikan oleh Anwar selaku Pengerusi ASEAN serta Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Walau bagaiamanapun, suasana kembali bergolak apabila pertempuran terbaharu tercetus pada Isnin minggu ini, mengorbankan nyawa dan memaksa ribuan penduduk meninggalkan kediaman masing-masing.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








