BERITA SEMASALUAR NEGARA

Konflik Thailand-Kemboja bertukar perang, ragut 11 nyawa setakat ini

PHNOM PENH – Ketegangan berpanjangan di sempadan Thailand-Kemboja bertukar menjadi konflik bersenjata semalam apabila sekurang-kurangnya 11 orang awam terkorban dalam insiden tembak-menembak dan bedilan artileri antara kedua-dua negara, memetik laporan Al Jazeera.

Thailand dilaporkan mengerahkan enam jet pejuang F-16 dalam satu langkah luar biasa dengan sebuah daripadanya digunakan untuk melancarkan serangan ke atas sasaran tentera Kemboja selepas dakwaan provokasi dari arah sempadan negara jiran.

Pertempuran tercetus di kawasan pertikaian sempadan dan merebak ke sekurang-kurangnya enam lokasi berasingan di kawasan sepanjang 209 kilometer.

Tentera Thailand mendakwa penggunaan kuasa udara dilakukan bagi memastikan ketepatan sasaran manakala Kementerian Luar Kemboja menyifatkan tindakan itu sebagai ‘pencerobohan tentera yang kejam dan melulu’.

Krisis itu berlaku sehari selepas Thailand menarik balik dutanya dari Phnom Penh dan mengusir duta Kemboja susulan seorang lagi tentera Thai cedera parah akibat terkena periuk api yang didakwa baru dipasang oleh pasukan Kemboja.

Pertempuran itu disifatkan sebagai yang terburuk dalam tempoh 13 tahun dan telah menarik perhatian dunia.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dijadualkan bersidang hari ini bagi membincangkan perkembangan tersebut.

Timbalan jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Tommy Pigott dalam satu kenyataan menyeru agar semua pihak menghentikan permusuhan dan memberi keutamaan kepada keselamatan orang awam.

“Kami amat bimbang dengan peningkatan keganasan di sempadan Thailand-Kemboja dan berdukacita dengan laporan kematian orang awam,” katanya.

Thailand melaporkan 12 kematian di tiga wilayah sempadan termasuk 11 orang awam dan seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun.

Sekurang-kurangnya 31 lagi dilaporkan cedera.

Jumlah sebenar korban di pihak Kemboja masih belum dapat dipastikan.

Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai mengecam tindakan Kemboja dan menyifatkan penggunaan senjata berat ke kawasan awam sebagai pencabulan undang-undang antarabangsa.

“Kami tetap komited kepada jalan damai dan penyelesaian menerusi rundingan, namun apa yang berlaku semalam adalah provokasi yang memerlukan kami mempertahankan diri,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Thailand, Somsak Thepsuthin mengesahkan sebuah hospital di wilayah Surin terkena serangan yang disifatkannya sebagai jenayah perang.

Rakaman video menunjukkan kepulan asap tebal dari sebuah stesen minyak di wilayah Sisaket, sementara pasukan bomba bergelut memadamkan kebakaran.

Lebih 40,000 penduduk di kawasan sempadan dilaporkan telah dipindahkan ke pusat perlindungan sementara.

Pertikaian sempadan antara kedua-dua negara sudah berlarutan selama beberapa dekad dengan perebutan hak milik kuil purba Hindu seperti Ta Moan Thom dan Preah Vihear menjadi punca utama ketegangan.

Walaupun Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah memutuskan pemilikan kuil Preah Vihear kepada Kemboja pada 1962, ketegangan kembali memuncak pada 2008 selepas Phnom Penh cuba mendaftarkan kuil tersebut sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Kemboja pada Jun lalu memohon ICJ menyelesaikan pertikaian tersebut, namun Thailand menegaskan ia tidak mengiktiraf bidang kuasa mahkamah itu dan lebih memilih penyelesaian dua hala.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button