WHO senaraikan ubat baharu untuk obesiti, diabetes dan kanser
GENEVA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menambah beberapa ubat baharu termasuk rawatan obesiti, diabetes, kanser dan fibrosis sista ke dalam Senarai Ubat-Ubatan Asas, langkah yang dilihat mampu memperluas akses kesihatan global.
Senarai tersebut kini merangkumi 523 ubat untuk orang dewasa dan 374 untuk kanak-kanak yang dianggap penting untuk tersedia dalam semua sistem kesihatan, menurut laporan Al Jazeera.
WHO menekankan bahawa versi generik berharga rendah bagi ubat agonis reseptor GLP-1 perlu turut disediakan, khususnya bagi negara membangun.
Langkah itu penting bagi mengatasi masalah keterbatasan akses akibat kos tinggi.
Penolong Pengarah WHO bagi Sistem Kesihatan, Akses dan Data, Yukiko Nakatani berkata, kemasukan ubat-ubatan ini menandakan langkah penting dalam memperluas akses kepada rawatan baharu yang terbukti memberi manfaat klinikal serta berpotensi besar kepada kesihatan awam global.
Jawatankuasa pakar WHO menambah bahan aktif dalam Ozempic keluaran Novo Nordisk dan Mounjaro keluaran Eli Lilly sebagai rawatan diabetes tahap dua, yang juga berkaitan dengan risiko penyakit kardiovaskular, buah pinggang kronik serta obesiti.
“Pada asalnya dibangunkan untuk pesakit diabetes, ubat ini kini mendapat populariti meluas kerana digunakan bagi tujuan penurunan berat badan.
“Namun begitu, WHO sebelum ini pernah menghentikan sementara penggunaannya bagi rawatan obesiti pada 2023,” katanya dalam satu kenyataan.
WHO turut mengakui harga semasa bagi ubat seperti semaglutide dan tirzepatide mengehadkan akses, khususnya bagi golongan berpendapatan rendah.
Bagi mengatasi isu itu, agensi berkenaan menggalakkan pengeluar ubat generik menghasilkan versi lebih mampu milik selepas tamat tempoh paten pada tahun hadapan.
Menurut data WHO, lebih 800 juta orang di seluruh dunia menghidap diabetes pada 2022, manakala lebih satu bilion penduduk menghadapi masalah obesiti.
Angka itu dijangka terus meningkat dan memberi tekanan besar terhadap sistem kesihatan awam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







