KKM tubuh pasukan khas tangani krisis bekalan ubat
KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) menubuhkan Pasukan Petugas Khas Keselamatan Ubat dan Peranti Perubatan sebagai langkah memperkukuh kesiapsiagaan negara berdepan ketidaktentuan rantaian bekalan global.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad berkata, penubuhan pasukan itu bertindak sebagai pusat kawalan utama susulan cabaran global termasuk krisis bahan mentah, tenaga serta peningkatan kos logistik akibat ketegangan di Asia Barat.
Menurut beliau, pasukan berkenaan kini melaksanakan pemantauan data secara masa nyata selain mempelbagaikan sumber pemerolehan ubat dari pasaran antarabangsa bagi memastikan bekalan kekal stabil.
“Pada masa sama, kita memastikan penimbal stok barisan hadapan bagi ubat kritikal sentiasa kukuh dan mampu bertahan lebih 60 hari demi melindungi pesakit,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Sesi Taklimat kepada Friends of Ministry (FoM) bagi menyelaras tindakan bersama Ahli Parlimen dalam menangani isu kesihatan di peringkat akar umbi.
Dalam pada itu, beliau menegaskan komitmen kerajaan untuk memastikan rantaian bekalan ubat dan peranti perubatan negara sentiasa terjamin.
Menurutnya, KKM turut mengaktifkan mekanisme amaran awal dengan mewajibkan pembekal melaporkan sebarang potensi kekurangan bekalan sekurang-kurangnya enam bulan lebih awal bermula Julai ini.
“Bagi peranti perubatan, Pihak Berkuasa Peranti Perubatan telah memeterai kerjasama strategik dengan pihak berkuasa China bagi menstabilkan bekalan bahan mentah kritikal seperti resin dan naphtha.
“Langkah ini membolehkan pengilang tempatan terus beroperasi tanpa gangguan,” katanya lagi.
Tambah beliau, KKM turut menyediakan ‘Special Access Pathway’ bagi mempercepat kemasukan kelengkapan perubatan yang mendesak untuk memastikan kelancaran operasi hospital.
“Tindakan proaktif ini penting bagi memastikan pesakit tidak terjejas oleh sebarang kejutan global,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








