Tun Mahathir seru masyarakat doakan kesembuhan Datuk Seri Jamal Yunos
KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (Tun M) menyeru masyarakat agar mendoakan kesembuhan Datuk Seri Jamal Yunos yang kini sedang dirawat di hospital akibat kanser paru-paru yang telah merebak ke otak.
Dalam satu kenyataan, Tun M menyatakan bahawa beliau dimaklumkan mengenai keadaan kesihatan Jamal yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar.

Malah, beliau memberitahu, ada terbaca gesaan agar Jamal meminta maaf kepadanya atas kata-kata yang tidak wajar dilemparkan semasa beliau menentang UMNO berkaitan kes 1MDB.
“Bagi saya, tidak perlulah mengungkit perkara itu kepada saudara se-Islam kita yang sedang menghadapi kesukaran.
“Sebaliknya, saya rasa perlu kita doakan semoga beliau kembali sembuh dan sihat seperti sedia kala,” ujar Tun M.

Dalam pada itu, Tun M turut mengambil kesempatan untuk memohon maaf kepada Jamal sekiranya terdapat sebarang kesilapan atau kesalahan di pihaknya.
Kenyataan tersebut jelas menunjukkan nilai ketelusan, keprihatinan dan berlapang dada Tun M terhadap insan yang pernah menjadi musuh politik beliau satu ketika dahulu.
Jamal kini dirawat di sebuah hospital swasta di Ampang. Keadaan kesihatan beliau semakin merosot selepas sel barah yang sebelum ini berada di paru-paru merebak ke otaknya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








