BERITA SEMASA

WHO beri amaran penularan Hantavirus, percaya masih boleh dikawal

GENEVA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berpandangan penularan Hantavirus yang dikesan dalam kalangan penumpang kapal persiaran MV Hondius masih berpotensi dikawal sekiranya langkah pencegahan serta protokol kesihatan awam dilaksanakan segera.

Walaupun tiga kematian telah direkodkan setakat ini, WHO menegaskan wabak berkenaan belum menunjukkan petanda akan merebak secara meluas di peringkat global.

Kebimbangan antarabangsa tercetus selepas virus bawaan tikus itu dikesan membabitkan MV Hondius yang kini dalam perjalanan ke Canary Islands, Spain.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, mengesahkan lima kes positif dan tiga kes disyaki telah direkodkan, termasuk tiga kematian.

Menurut beliau, lebih banyak kes masih berkemungkinan dikesan kerana tempoh pengeraman virus itu boleh mencecah sehingga enam minggu.

Sementara itu, pegawai kesihatan antarabangsa kini giat meneliti penularan strain Andes yang jarang ditemui kerana mempunyai keupayaan menjangkiti manusia melalui kontak sesama manusia.

Siasatan awal mendapati mangsa pertama merupakan pasangan suami isteri dari Netherlands yang mengembara di sekitar South America sebelum menaiki kapal berkenaan di Ushuaia pada 1 April lalu.

Lelaki itu meninggal dunia di atas kapal pada 11 April, manakala isterinya meninggal dunia di South Africa, 15 hari kemudian selepas disahkan positif hantavirus.

Kematian ketiga pula membabitkan seorang penumpang warga Germany pada 2 Mei lalu.

Susulan itu, pihak berkuasa kini mempergiat usaha mengesan semua penumpang dan kru yang menaiki atau meninggalkan kapal tersebut sejak 20 Mac bagi memutuskan rantaian jangkitan.

Pihak berkuasa Argentina memaklumkan punca sebenar jangkitan masih belum dapat dipastikan. Operasi pemeriksaan tikus di kawasan pesisir pantai Ushuaia juga akan dijalankan bagi mengenal pasti sama ada lokasi berkenaan menjadi titik permulaan wabak.

Dalam perkembangan terbaharu, Leiden University Medical Center di Belanda mengesahkan seorang lagi pesakit diuji positif selepas tiba di Eropah.

Individu yang disyaki atau disahkan dijangkiti kini sedang dirawat atau menjalani pengasingan di Britain, Jerman, Belanda, Switzerland dan Afrika Selatan.

Pengarah Amaran Kecemasan WHO, Abdi Rahman Mahamud berkata, wabak itu tidak dijangka berkembang menjadi ancaman global seperti Covid-19 kerana tahap kebolehjangkitannya lebih rendah.

Beliau menegaskan kerjasama antarabangsa dan pematuhan kepada langkah kesihatan awam kekal menjadi faktor utama bagi memastikan penularan wabak itu dapat dikawal.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button