Virus Chikungunya kembali menular, WHO gesa kawalan rentas sempadan
GENEVA – Penularan virus Chikungunya kembali mencetus kebimbangan apabila Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan peningkatan kes, sekali gus menandakan kemunculan semula wabak itu di peringkat global.
Menurut Pegawai Perubatan WHO, Dr. Diana Rojas Alvarez, virus bawaan nyamuk Aedes aegypti dan Aedes albopictus itu telah dikenal pasti di sekurang-kurangnya 119 negara, meletakkan lebih 5.6 bilion penduduk dalam zon berisiko.
Beliau berkata, ketiadaan imuniti dalam kalangan majoriti populasi dunia terhadap virus berkenaan mendedahkan komuniti global kepada kemungkinan gelombang jangkitan berskala besar.
“Virus ini masih belum difahami secara menyeluruh dan boleh mengakibatkan gejala seperti demam panas dan kesakitan sendi yang berpanjangan. Dalam beberapa kes, ia turut berisiko membawa maut,” katanya.
Tambah beliau, lonjakan semula kes jangkitan telah direkodkan di beberapa negara Afrika termasuk Madagascar, Somalia dan Kenya.
“Peningkatan kadar penularan turut dikesan di Asia Selatan.
“Di Eropah, kes penularan tempatan telah direkodkan di Perancis. Sementara itu, beberapa kes import yang dikaitkan dengan perjalanan ke wilayah Lautan Hindi juga telah dikesan. Itali kini sedang menyiasat beberapa kes disyaki,” jelasnya.
WHO turut memaklumkan simptom Chikungunya sering disalah tafsir sebagai demam denggi atau jangkitan virus Zika berikutan persamaan gejala, sekali gus menyukarkan proses diagnosis tepat.
“Keadaan itu, melambatkan tindak balas awal dan menjejaskan keupayaan sistem pemantauan kesihatan awam untuk mengesan penularan aktif,” ujarnya.
Sehubungan itu, WHO menggesa semua negara agar memperkukuh sistem pemantauan penyakit, melaksanakan kawalan vektor secara menyeluruh dan meningkatkan kesedaran awam berhubung risiko jangkitan.
“Kita tidak boleh mengulangi kesilapan lalu. Pendekatan rentas sektor serta tindakan awal amat penting bagi memastikan wabak ini tidak berkembang menjadi krisis kesihatan global,” tegasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







