MV Hondius tamatkan pelayaran di Rotterdam, baki kru jalani kuarantin
THE HAGUE – Kapal persiaran MV Hondius yang menjadi tumpuan dunia selepas dikaitkan dengan wabak maut Hantavirus menamatkan pelayarannya di Rotterdam hari ini, dengan baki kru di atas kapal menjalani kuarantin selama beberapa minggu.
Menurut pihak berkuasa, kapal kendalian Oceanwide Expeditions itu tiba di pelabuhan Belanda itu pada pukul 10 pagi (waktu tempatan).
Setakat ini, seramai 27 individu masih berada di atas kapal berkenaan membabitkan 25 kru dan dua petugas perubatan.
MV Hondius sebelum ini mencetuskan kebimbangan antarabangsa selepas tiga penumpang dilaporkan meninggal dunia akibat jangkitan Hantavirus iaitu sejenis virus jarang ditemui yang tiada vaksin atau rawatan khusus.
Bagaimanapun, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menegaskan wabak itu bukan ancaman pandemik baharu seperti Covid-19 dan risiko penularannya kepada orang ramai masih rendah.
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, tiada petunjuk bahawa dunia sedang berdepan wabak besar baharu, namun tempoh inkubasi hantavirus yang boleh mencecah beberapa minggu memungkinkan kes tambahan masih boleh berlaku dalam kalangan individu di atas kapal.
Menurut data AFP berdasarkan sumber rasmi, enam kes Hantavirus telah disahkan setakat ini dengan satu lagi kes masih dalam siasatan.
Kanada turut melaporkan satu kes positif sementara yang belum disahkan.
Selepas kapal itu tiba di Kepulauan Canary pada 10 Mei lalu, lebih 120 penumpang dan kru telah dipindahkan sama ada ke Belanda atau negara asal masing-masing.
Seorang wanita Perancis berusia 65 tahun dilaporkan mula mengalami simptom ketika dalam penerbangan pulang dan kini berada dalam keadaan kritikal di sebuah hospital di Paris selepas disahkan dijangkiti Hantavirus.
Dua lagi individu iaitu seorang warga Belanda dan seorang warga Britain turut dibawa ke hospital di Belanda untuk rawatan lanjut.
Kedua-duanya dilaporkan stabil, manakala warga Britain terbabit sudah dibenarkan pulang bagi menjalani pengasingan diri.
Sementara itu, semua individu lain yang dipindahkan ke Belanda didapati negatif virus berkenaan, walaupun sebahagian masih menjalani kuarantin sebagai langkah berjaga-jaga.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








