LUAR NEGARA

Kes hantavirus: Britain mobilisasi anggota briged payung terjun hantar bekalan perubatan

LONDON – Britain menghantar anggota briged payung terjunnya ke wilayah seberang laut paling terpencil milik negara itu, Tristan da Cunha, bersama petugas dan bekalan perubatan selepas satu kes disyaki hantavirus disahkan di pulau berkenaan.

Menurut Reuters, pasukan yang terdiri daripada enam anggota payung terjun dan dua pegawai klinikal tentera daripada Briged Serangan Udara ke-16 itu dihantar dengan pesawat pengangkut RAF A400M yang terbang sejauh 6,788 kilometer (km) dari pangkalan udara RAF Brize Norton di Oxfordshire ke Pulau Ascension.

Pesawat itu kemudiannya meneruskan perjalanan sejauh 3,000km lagi ke selatan menuju Tristan da Cunha.

Kementerian Pertahanan Britain (MoD) dalam satu kenyataan berkata, operasi sedemikian kali pertama dilaksanakan angkatan tentera bagi memberikan bantuan kemanusiaan melalui terjunan payung terjun.

Bekalan yang dihantar tersebut ditujukan kepada seorang lelaki warga Britain yang menurut pihak berkuasa kesihatan UK merupakan penumpang kapal persiaran yang terjejas akibat wabak hantavirus dan berlabuh di pulau itu antara 13 hingga 15 April lalu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, lelaki itu mula menunjukkan simptom yang serasi dengan hantavirus pada 28 April dan kini berada dalam keadaan stabil serta diasingkan.

“Dengan bekalan oksigen di pulau itu berada pada tahap kritikal, penghantaran melalui terjunan udara bersama petugas perubatan adalah satu-satunya cara untuk memberikan rawatan penting kepada pesakit tepat pada masanya,” kata MoD dalam satu kenyataan, hari ini.

Tristan da Cunha yang hanya dihuni kira-kira 200 penduduk terletak di tengah-tengah antara Afrika Selatan dan Amerika Selatan dan merupakan pulau berpenghuni paling terpencil di dunia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button