LUAR NEGARA

Gencatan senjata Gaza peluang bersejarah ke arah damai – Guterres

NEW YORK – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres menyifatkan gencatan senjata yang dicapai antara Israel dan Hamas sebagai satu peluang bersejarah untuk menghidupkan semula usaha ke arah penyelesaian dua negara di Asia Barat.

Menurutnya, keamanan yang berkekalan hanya dapat dicapai sekiranya rakyat Palestin diberikan hak untuk menubuhkan negara sendiri yang merdeka dan hidup berdampingan secara aman dengan Israel.

“Tanpa dua negara, tidak akan ada keamanan di Asia Barat, dan radikalisme akan terus merebak ke seluruh dunia,” katanya ketika berucap pada sesi Majlis Keselamatan PBB di New York semalam.

Guterres turut berkata, penamatan penempatan haram Israel, ancaman aneksasi serta keganasan pelampau di Tebing Barat perlu menjadi keutamaan sekiranya dunia benar-benar mahu melihat penyelesaian dua negara direalisasikan.

“Negara Palestin bukan ganjaran, tetapi hak mutlak rakyatnya. Menafikan hak ini hanya akan menambah kekerasan dan menguatkan ekstremisme,” katanya lagi.

Beliau turut menyeru agar semua tebusan dibebaskan serta memastikan bantuan kemanusiaan disalurkan dengan selamat dan tanpa halangan kepada penduduk Gaza yang terjejas teruk akibat konflik.

Dalam masa sama, Guterres memuji usaha Qatar, Mesir dan Turkiye yang memainkan peranan penting membantu memudahkan rundingan gencatan senjata serta membina asas diplomatik baharu bagi proses damai tersebut.

“Momentum diplomatik ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk membina asas politik yang adil dan berkekalan bagi kedua-dua pihak,” katanya lagi.

Sementara itu, Presiden Perhimpunan Agung PBB, Annalena Baerbock turut menyokong kenyataan Guterres dengan menegaskan bahawa penyelesaian dua negara merupakan satu-satunya jalan bagi memastikan rakyat Palestin dan Israel dapat hidup dalam keamanan serta maruah.

Gencatan senjata yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sebelum itu membuka ruang baharu kepada rundingan diplomatik dengan sokongan negara serantau, sekali gus memberi sinar harapan kepada rakyat Palestin selepas berbulan-bulan dilanda penderitaan akibat serangan tentera Israel.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button