AS lancar serangan terhadap Iran susulan helikopter Apache ditembak jatuh
WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan terhadap Iran semalam sebagai tindak balas terhadap tindakan Tehran menembak jatuh sebuah helikopter Apache milik tenteranya kelmarin.
Presiden AS, Donald Trump berkata, Washington bertindak balas secara tegas terhadap insiden itu dan menyifatkan operasi ketenteraan yang dilancarkan sebagai tindakan yang sewajarnya.
“Mereka melakukan sesuatu terhadap helikopter kami dan kami bertindak balas dengan cara yang tegas.
“Saya percaya tindak balas itu perlu sangat kuat dan berkuasa, dan itulah yang sedang berlaku sekarang,” katanya dalam temu bual telefon bersama ABC News.
Dalam kenyataan berasingan, Markas Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM) memaklumkan bahawa pasukan tentera negara itu mula melancarkan serangan pertahanan diri terhadap Iran pada pukul 5 petang waktu Timur (2100 GMT) atas arahan Panglima Tertinggi.
Menurut CENTCOM, operasi berkenaan merupakan tindak balas yang bersifat berkadaran terhadap apa yang disifatkan sebagai tindakan provokasi Iran yang tidak berasas.
Media Iran pula melaporkan beberapa letupan kedengaran di kawasan pantai selatan negara itu berhampiran Selat Hormuz sejurus serangan dilancarkan.
Helikopter Apache Tentera Darat AS yang ditembak jatuh itu merupakan pesawat kedua milik Washington yang disahkan hilang akibat tindakan Iran sepanjang konflik semasa, selepas sebuah pesawat pejuang F-15 dilaporkan terhempas pada April lalu.
CENTCOM memaklumkan kedua-dua kru helikopter tersebut berjaya diselamatkan selepas pesawat itu terhempas berhampiran pantai Oman.
“Anggota terbabit berjaya diselamatkan dalam tempoh kira-kira dua jam dan kini berada dalam keadaan stabil,” menurut kenyataan yang dimuat naik di platform X.
Perkembangan terbaharu itu berlaku hanya beberapa jam selepas Trump mendakwa rundingan bagi menamatkan konflik di Asia Barat berada di peringkat akhir, walaupun pertempuran antara pihak yang terlibat terus mencetuskan ketegangan.
Gencatan senjata yang rapuh sejak 8 April lalu turut berdepan cabaran apabila Iran dan Israel kembali melancarkan serangan pada hujung minggu sebelum kedua-dua pihak mengumumkan penghentian operasi ketenteraan masing-masing.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








