BERITA SEMASALUAR NEGARA

Dua wanita maut, suspek ditembak mati dalam insiden tembakan di gereja

KENTUCKY – Insiden tembakan yang meragut dua nyawa dan mencederakan beberapa individu termasuk seorang anggota polis negeri mencetuskan suasana panik di sebuah gereja dan kawasan lapangan terbang di Kentucky, Amerika Syarikat (AS) semalam.

Memetik laporan Reuters, kejadian bermula apabila seorang lelaki bersenjata menembak mati dua wanita di Gereja Baptist Richmond Road, sebelum mencederakan dua lelaki lain, yang salah seorangnya dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

Ketua Polis Lexington, Lawrence Weathers memaklumkan kejadian itu turut melibatkan satu lagi insiden apabila suspek melepaskan tembakan ke arah anggota polis yang cuba menahannya berhampiran Lapangan Terbang Blue Grass kira-kira pukul 11.30 pagi waktu tempatan.

“Kadangkala, ada hari-hari yang begitu sukar. Ada perkara berlaku tanpa sebab yang jelas,” katanya.

Suspek kemudiannya melarikan diri dengan merampas sebuah kenderaan sejauh kira-kira 16 kilometer dari lokasi lapangan terbang dan menuju ke gereja tersebut sebelum melepaskan tembakan ke arah orang ramai.

Kenderaan yang dirampas berjaya dikesan polis di kawasan gereja berkenaan, dan suspek akhirnya ditembak mati oleh pihak berkuasa.

Identiti dan umur suspek belum didedahkan setakat ini, dan motif kejadian juga masih dalam siasatan.

Namun, Ketua Polis menyatakan terdapat petunjuk bahawa suspek mungkin mengenali beberapa individu di gereja terbabit.

Anggota polis yang tercedera kini dirawat di hospital berdekatan dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Pihak Lapangan Terbang Blue Grass dalam satu kenyataan di platform X memaklumkan siasatan sedang dijalankan di sekitar jalan menuju ke lapangan terbang, namun operasi dan penerbangan tidak terjejas.

Jabatan Polis Lexington juga akan menjalankan semakan dalaman mengikut prosedur tetap susulan insiden tembakan berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button