LUAR NEGARA

AS guna kuasa veto gagalkan resolusi gencatan senjata Gaza sekali lagi

NEW YORK – Amerika Syarikat (AS) sekali lagi menggunakan kuasa veto di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk menggagalkan resolusi menuntut gencatan senjata segera, tanpa syarat dan berkekalan di Gaza, meskipun 14 anggota lain menyokong cadangan tersebut.

Resolusi yang dibentangkan sejak Ogos lalu itu turut menggesa pembebasan tebusan yang dipegang Hamas serta menuntut akses tanpa halangan bagi bantuan kemanusiaan ke wilayah berkenaan.

Undian itu berlangsung ketika Israel melancarkan serangan darat besar-besaran di Gaza City, memaksa ribuan penduduk Palestin berpindah ke selatan.

Duta Denmark ke PBB, Christina Markus Lassen menegaskan keadaan di Gaza semakin parah apabila kebuluran kini telah disahkan berlaku.

“Kebuluran di Gaza bukan lagi ramalan atau sekadar pengumuman, ia telah disahkan,” katanya.

Algeria yang turut menyokong resolusi itu melahirkan kekecewaan mendalam terhadap kegagalan UNSC melindungi orang awam Palestin, khususnya kanak-kanak.

Duta Algeria ke PBB, Amar Bendjama berkata:

“Saudara-saudara Palestin, maafkan kami. Dunia berbicara tentang hak, tetapi menafikannya kepada rakyat Palestin. Maafkan kami kerana usaha ikhlas kami hancur di hadapan tembok penolakan ini.”

Pakistan pula menyifatkan tindakan veto tersebut sebagai ‘detik hitam’ dalam sejarah UNSC.

Dalam perkembangan lain, suruhanjaya penyiasatan bebas PBB pada Selasa lalu buat pertama kali menuduh Israel melakukan genosid sejak Oktober 2023 dengan niat memusnahkan rakyat Palestin secara sistematik.

Isu Gaza dijangka menjadi tumpuan utama Sidang Tahunan PBB minggu depan, tatkala tekanan antarabangsa semakin meningkat agar keganasan dihentikan segera.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button