JENAYAH & MAHKAMAHLUAR NEGARA

42 maut dalam serangan udara terbaharu Israel di Gaza

GAZA – Sekurang-kurangnya 42 penduduk Palestin terbunuh dalam serangan udara terbaharu yang dilancarkan Israel di beberapa lokasi di Semenanjung Gaza, awal pagi semalam.

Menurut Agensi Pertahanan Awam Gaza, serangan yang berlaku tanpa amaran itu menyasarkan kawasan kediaman penduduk termasuk kem pelarian, mengorbankan wanita dan kanak-kanak.

Pegawai agensi tersebut, Mohammed al-Mughayyir berkata, sembilan orang maut dalam serangan ke atas sebuah rumah di kem pelarian Bureij, sementara enam lagi terkorban di rumah keluarga Al-Masri di Beit Lahia, utara Gaza.

“Rakaman menunjukkan penduduk menggali runtuhan untuk mencari mangsa yang tertimbus.

“Tiada amaran, tiada panggilan telefon. Kami terjaga diselubungi asap dan serpihan bangunan,” katanya memetik laporan BH online.

Tambahnya, mereka hanya mampu mengangkat jasad dan cebisan tubuh mangsa dari runtuhan.

Serangan turut menyasarkan kawasan komuniti di bandar Gaza yang menyebabkan enam lagi terbunuh, manakala selebihnya berlaku di pelbagai kawasan lain di seluruh wilayah tersebut.

Agensi itu turut melaporkan sekurang-kurangnya 21 lagi kematian dicatatkan hasil serangan sama di lokasi berbeza.

Kementerian Kesihatan Gaza yang ditadbir Hamas memaklumkan, jumlah korban sejak Israel menyambung semula kempen ketenteraan pada 18 Mac lalu kini mencecah 2,326 orang, menjadikan jumlah keseluruhan kematian sejak perang tercetus kepada 52,418 orang.

Israel mendakwa tindakan ketenteraan yang dilancarkan bertujuan mendesak Hamas membebaskan baki tebusan.

Namun, pengkritik menyifatkan pendekatan itu hanya membahayakan nyawa tebusan serta memburukkan lagi keadaan kemanusiaan di wilayah tersebut.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini telah berulang kali memberi amaran mengenai tahap krisis kemanusiaan yang semakin parah dengan kebuluran kembali melanda rakyat Palestin.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button