BERITA SEMASALUAR NEGARA

Dua trak bantuan MyCARE berjaya masuk Gaza

KUALA LUMPUR – Sebanyak 500 keluarga di Gaza menerima bekalan makanan asas selepas 1,600 guni tepung yang dihantar Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) berjaya memasuki wilayah itu melalui sempadan Rafah dan diagihkan awal minggu lalu.

Pengurus Kanan Projek MyCARE, Kamarul Halim Sakrani berkata, setiap keluarga menerima satu guni tepung seberat 25 kilogram bagi membantu mengurangkan tekanan hidup penduduk yang masih kekurangan makanan walaupun gencatan senjata diumumkan.

“Pada saat pasca gencatan senjata ketika ini, penduduk Gaza masih tidak menerima bekalan makanan yang cukup.

“Kemasukan trak yang membawa tepung dapat membantu mereka daripada kelaparan dan ia juga adalah makanan ruji penduduk di Gaza selain dapat bertahan lama,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Beliau menjelaskan, walaupun perjanjian awal menetapkan 600 trak bantuan dibenarkan masuk setiap hari, rejim Zionis hanya membenarkan kira-kira 100 trak, sekali lagi mengekang usaha bantuan kemanusiaan.

Sementara itu, Pengurus MyCARE Gaza, Dr Zaid Shehada, berkata keadaan penduduk Gaza hanya sedikit pulih namun keperluan asas mereka masih jauh daripada mencukupi.

“Keperluan kemanusiaan masih sangat besar. Walaupun jumlah bantuan semakin meningkat, kuantitinya masih jauh daripada mencukupi bagi menampung keperluan penduduk Gaza.

“Kira-kira 750 tan makanan sehari dibenarkan masuk ke Gaza, jauh di bawah sasaran sekitar 2,000 tan sehari dan penghantarannya juga tidak berterusan,” jelasnya.

Beliau menambah, jenis barangan yang dibenarkan masuk turut dikawal ketat, menyebabkan harga barangan asas terus melonjak dan tidak mampu ditanggung kebanyakan keluarga.

Sebelum ini, lima trak membawa 40 tan tepung dan 1,000 pek makanan bernilai RM360,000 yang memasuki Gaza pada 16 Oktober lalu sudah diagihkan di sekitar kem sementara di bandar Gaza.

Sejak Oktober 2023, serangan Israel dilaporkan mengorbankan hampir 68,200 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menjadikan majoriti kawasan di Gaza musnah dan tidak lagi sesuai didiami.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button