LUAR NEGARA

Kibar bendera Palestin: Massive Attack disoal siasat, diharam masuk Singapura

LONDON – Kumpulan muzik Britain, Massive Attack mendakwa anggota mereka ditahan, disoal siasat, bilik hotel diperiksa dan pasport dirampas (sementara) oleh pihak berkuasa Singapura selepas mengibarkan bendera Palestin ketika mengadakan konsert di Star Theatre pada 29 Julai lalu.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di media sosial, kumpulan yang terkenal dengan pendirian lantang terhadap isu politik itu melahirkan rasa terkejut dan kecewa selepas pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap mereka susulan tindakan solidariti itu.

Tindakan itu diambil oleh kerajaan Singapura selepas mendapati berlaku pelanggaran syarat lesen persembahan. Negara itu mempunyai undang-undang yang melarang paparan bendera, lambang atau sepanduk tanpa kebenaran terlebih dahulu.

Susulan siasatan, Massive Attack bukan sahaja diharamkan daripada memasuki Singapura malah tidak lagi dibenarkan mengadakan persembahan di negara tersebut.

Tindakan kumpulan Massive Attack mengibar bendera Palestine semasa konsert di Singapore baru-baru ini menyebabkan mereka diharamkan dari memasuki negara itu.

Menurut kumpulan itu, sebelum dan selepas persembahan berlangsung, sebahagian besar penonton secara spontan melaungkan slogan “Free Palestine” sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin.

Massive Attack berkata, mereka tidak menyangka tindakan mengangkat bendera Palestin yang diiktiraf sebagai sebuah negara oleh 157 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dianggap melanggar undang-undang Singapura.

“Kami tetap berbangga dapat berkongsi detik spontan itu bersama peminat di Singapura yang berani menunjukkan sokongan moral kepada rakyat Palestin yang berdepan pendudukan haram, dasar aparteid dan pembunuhan beramai-ramai,” kata kumpulan itu.

Mereka turut mengkritik kegagalan masyarakat antarabangsa bertindak tegas dalam isu Palestin, sambil menyifatkan pengalaman di Singapura sebagai sesuatu yang tidak masuk akal dan menjadi peringatan bahawa hak asasi manusia serta kebebasan bersuara perlu terus dipertahan di mana-mana sahaja.

Kumpulan itu turut mendakwa kebebasan bersuara semakin terancam di United Kingdom (UK), dengan mendakwa terdapat penunjuk perasaan aman yang ditahan di bawah undang-undang antikeganasan hanya kerana memprotes perang di Gaza.

Massive Attack mengakhiri kenyataan dengan mengucapkan penghargaan kepada rakyat Singapura atas sambutan yang diberikan, selain menggesa kerajaan negara itu memberikan hak bagi membolehkan rakyat negara itu menyuarakan pendirian tanpa bimbang dikenakan tindakan undang-undang.

Pada April lalu, anggota Massive Attack, Robert Del Naja, adalah antara kira-kira 200 individu yang ditahan polis di London ketika menyertai demonstrasi menyokong kumpulan pro-Palestin.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button