Fitnah kononnya mahu jadi MB antara cabaran terbesar kempen PRN Negeri Sembilan – Anthony Loke
KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menyifatkan dakwaan kononnya beliau berhasrat menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan dan menguasai pentadbiran kerajaan negeri sebagai antara serangan peribadi paling besar yang pernah dihadapinya sepanjang bergiat dalam politik.
Beliau berkata, tuduhan tersebut merupakan fitnah yang dimainkan sepanjang dua minggu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sehingga mencetuskan sentimen negatif dalam kalangan pengundi Melayu.
Menurutnya, pelbagai dakwaan tidak berasas dilemparkan, termasuk tuduhan bahawa beliau mahu merampas kuasa daripada kepimpinan Melayu serta mengambil alih pentadbiran negeri.
“Saya berdepan dan menentang segala pembohongan serta tuduhan tersebut. Namun begitu, kami terus bertahan dan berjuang sehingga saat-saat terakhir,” katanya pada sidang media semalam.
Anthony berkata, serangan dan fitnah seperti itu merupakan lumrah dalam dunia politik, namun mengakui masih terdapat pihak yang mempercayai dakwaan berkenaan walaupun ia pada asalnya dilontarkan sebagai sindiran.
Mengulas keputusan PRN Negeri Sembilan, beliau tetap berbangga apabila memperoleh 47 peratus undi keseluruhan, termasuk dianggarkan antara 20 hingga 25 peratus sokongan pengundi Melayu, meskipun tewas dengan majoriti hanya beberapa ratus undi.
Beliau menyifatkan kekalahan sekitar tiga peratus itu sebagai sebahagian daripada proses demokrasi yang perlu dihormati dan diterima dengan hati terbuka.
“Saya menghormati keputusan itu. Tiada sebarang penyesalan kerana telah berjuang hingga ke penghujung. Kalau pun tewas, saya tewas dengan penuh maruah,” katanya.
Pada PRN Negeri Sembilan kali ini, DAP kehilangan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Chennah dan Repah, namun masih mengekalkan sembilan kerusi DUN iaitu Bahau, Nilai, Lobak, Temiang, Bukit Kepayang, Rahang, Mambau, Seremban Jaya dan Lukut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















