BERITA SEMASA

Pasukan khas pantau isu 3R ketika PRN Johor, Negeri Sembilan

KOTA BHARU – Satu pasukan khas akan diwujudkan bagi memantau penyebaran kandungan berunsur 3R (Raja, Agama dan Kaum) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kerjasama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan terus diperkukuh dalam usaha membendung perkara itu.

Beliau menambah, kerjasama erat antara ketiga-tiga agensi tersebut sudah lama dilaksanakan bagi memastikan perjalanan pilihan raya berlangsung dalam keadaan terkawal dan mematuhi undang-undang.

“Sekiranya pelanggaran atau kesalahan yang menyentuh isu 3R berlaku secara fizikal sepanjang tempoh berkempen rasmi, tindakan akan diserahkan kepada PDRM atau SPR.

“Sebarang provokasi atau kesalahan fizikal yang dikesan sebelum tempoh berkempen bermula pula berada di bawah bidang kuasa penuh PDRM,” katanya selepas hadir pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Negeri Kelantan, di sini hari ini.

Bagi penyebaran kandungan berbaur 3R secara dalam talian sama ada menerusi siaran langsung atau rakaman video, Fahmi berkata, MCMC akan mengambil tindakan tegas berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada sekiranya menerima aduan.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan semua pihak yang bertanding supaya berkempen secara sihat dan berhemah,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button