PPIM zahir kebimbangan identiti pengguna disalah guna daftar talian telefon
PETALING JAYA – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menzahirkan kebimbangan terhadap kemungkinan berlaku penyalahgunaan identiti pengguna bagi pendaftaran talian telefon selepas menerima aduan seorang warga emas berusia 70 tahun yang mendapati 18 talian didaftarkan atas namanya tanpa pengetahuan.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, lelaki terbabit yang hanya pernah mendaftar satu talian turut berdepan bayaran RM40 sebulan bagi talian-talian berkenaan.
“Pak cik ini berusia 70 tahun. Dia hanya mendaftarkan satu talian, tetapi kemudian mendapati sebanyak 18 talian didaftarkan atas namanya.
“Selepas itu, kena bayar RM40 sebulan. Kalau tidak bayar, jadi CTOS. Jadi kita pun takut CTOS, esok ada masalah,” katanya ketika ditemui media selepas pelancaran Program Nasional Kesedaran Anti-Scam 2026, yang dirasmikan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Nadzim berkata, situasi itu menunjukkan pengguna boleh berdepan masalah kewangan apabila talian didaftarkan menggunakan identiti mereka tanpa pengetahuan.
Pada masa sama, beliau berkata, industri telekomunikasi perlu lebih jujur dan ikhlas bagi menangani isu berkenaan.
“Benda ini industri telekomunikasi kena lebih jujurlah. Pada saya, mereka perlu lebih jujur. Mereka perlu lebih ikhlas,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya menggesa Menteri Komunikasi memanggil Ketua Pegawai Eksekutif syarikat telekomunikasi untuk memberi penjelasan berhubung isu berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







