JENAYAH & MAHKAMAH

Dua pengarah syarikat telekomunikasi didakwa tiga pertuduhan miliki, beri khidmat rangkaian tanpa lesen

PETALING JAYA – Dua pengarah syarikat Aircom Telecommunication Sdn Bhd didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tiga pertuduhan berkaitan pemilikan kemudahan dan pemberian perkhidmatan rangkaian tanpa lesen sah.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka iaitu Foo Loke Hin, 57, dan isterinya, Thong Wei Mei, 54, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa memiliki kemudahan rangkaian tanpa lesen Individu Pemberi Kemudahan Rangkaian [NFP (I)] yang sah pada 16 Oktober 2025.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kondominium City of Green, Jalan BPS 14/2, Taman Perindustrian Bukit Serdang, Seri Kembangan, dalam Daerah Petaling.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa memberikan perkhidmatan rangkaian tanpa lesen Individu Pemberi Perkhidmatan Rangkaian [NSP (I)] yang sah di lokasi dan tarikh sama.

Kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 126(1)(a) dan 126(1)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), masing-masing boleh dihukum di bawah Seksyen 126(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, selain denda selanjutnya sehingga RM100,000 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan berterusan selepas sabitan.

Dalam pertuduhan ketiga, kedua-dua tertuduh didakwa, bagi mencapai niat bersama, memiliki sistem yang direka bentuk untuk memperoleh secara fraud perkhidmatan rangkaian jenis jalur lebar, iaitu Unlimited Home Fibre dan AIRCOM FIBRE.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 232(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 232(3) akta sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga RM1 juta atau dipenjarakan maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button