Bekas tentera dilepas tanpa bebas atas pertuduhan komunikasi seksual dengan kanak-kanak
KOTA TINGGI – Seorang bekas anggota tentera yang berdepan pertuduhan berkomunikasi secara seksual dengan seorang kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun pada 2017 dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.
Tertuduh, Syukri Hanafi, 32, yang kini bekerja sebagai pengawal keselamatan dilepaskan daripada pertuduhan meminta mangsa memegang bahagian kemaluannya dalam kejadian didakwa berlaku pada Julai 2017 di kawasan semak berhampiran pantai taman permainan di Kem Iskandar, Mersing.
Dia sebelum ini dituduh mengikut Seksyen 11(1)(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun jika sabit kesalahan.
Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan memutuskan DNAA selepas meneliti keseluruhan hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan.
“Mahkamah menggunakan kuasa sedia ada untuk melepaskan tertuduh tanpa dibebaskan.
“Kuasa meneruskan pendakwaan pula terletak pada budi bicara pendakwa raya. Wang jaminan turut diperintahkan dikembalikan kepada penjamin,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Afiqah Musa memaklumkan bahawa masih terdapat saksi pendakwaan yang belum dipanggil untuk memberi keterangan.
Bagaimanapun, peguam bela A. Mathan berhujah bahawa kes tersebut telah berlarutan selama lapan tahun dan sebarang siasatan lanjut wajar dilakukan sebelum tiga saksi pendakwaan selesai memberi keterangan.
“Penangguhan dan siasatan lanjut selepas tempoh begitu lama memprejudiskan tertuduh dari semua aspek termasuk kerjaya,” katanya.
Syukri pertama kali dituduh pada 31 Julai 2023 di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








