Pelajar China rugi RM850,000 diperdaya sindiket
GEORGETOWN – Seorang pelajar ijazah doktor falsafah (PhD) warga China berusia 29 tahun menanggung kerugian hampir RM850,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan panggilan telefon yang menyamar sebagai pihak berkuasa negara asalnya.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, mangsa menerima panggilan pada 4 Ogos lalu daripada seorang lelaki yang mendakwa dirinya pegawai Biro Keselamatan Awam Shanghai.
Menurutnya, suspek terbabit mendakwa terdapat bungkusan mengandungi kad pengenalan, kad kredit dan buku cek atas nama mangsa yang dihantar dari Malaysia ke China.
“Panggilan itu kemudian disambungkan kepada seorang lagi suspek yang menyamar sebagai pegawai Biro Keselamatan Awam Hong An. Individu berkenaan mendakwa akaun bank mangsa terbabit dengan aktiviti penipuan dalam talian di China,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Azizee berkata, mangsa kemudiannya diarahkan memindahkan wang kononnya untuk tujuan siasatan ke beberapa akaun bank dan e-wallet yang dikawal sindiket berkenaan.
Hasil siasatan mendapati, dalam tempoh 6 hingga 26 Ogos, mangsa melakukan 30 transaksi berjumlah RM847,843.62 ke 11 akaun bank tempatan dan tiga akaun mata wang kripto (USDT).
“Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas memaklumkan perkara itu kepada rakan sekelas sebelum tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut pada 28 Ogos lalu,” jelasnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








