Kritik kerajaan bukan jenayah, pelajar tidak perlu takut bersuara – PM
KUALA LUMPUR – Golongan pelajar tidak perlu takut menyuarakan kritikan terhadap kerajaan atau pemimpin kerana perbuatan itu bukan satu jenayah, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, perbezaan pandangan perlu diraikan kerana institusi pendidikan berperanan melahirkan generasi yang berfikiran kritis, berani mempertahankan pendirian dan tidak takut menegur kesilapan.
Menurutnya, pemimpin juga tidak terkecuali daripada melakukan kesilapan, justeru kritikan terhadap mereka tidak seharusnya dilihat sebagai satu kesalahan.
“Saya menggesa anak muda agar berani berpihak kepada kebenaran, menentang rasuah, menolak penindasan, dan tidak sesekali berkompromi dengan ketidakadilan,” katanya ketika merasmikan sidang kemuncak belia di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, malam tadi.
Jaminan itu diberikan beberapa hari selepas beliau mengumumkan di Dewan Rakyat bahawa prosiding tatatertib universiti awam berkaitan kebebasan bersuara, penyampaian pandangan, kritikan awam dan perhimpunan aman akan dihentikan serta-merta.
Anwar turut memaklumkan bahawa Kementerian Pendidikan Tinggi sedang menyediakan kerangka perundangan menyeluruh bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.
Isu kebebasan bersuara mahasiswa turut menjadi perhatian selepas aktivis mahasiswa, Wong Yan Ke, gagal mengetepikan sabitan dan denda RM10,000 berkaitan tindakannya membawa plakad mendesak bekas Naib Canselor Universiti Malaya, Abdul Rahim Hashim, meletakkan jawatan ketika istiadat konvokesyen pada 2019.
Wong disabitkan kesalahan pada 2023 kerana mengaibkan Abdul Rahim dan hadirin lain dalam insiden berkenaan.
Pada Ogos lalu, Anwar menegaskan universiti perlu melonggarkan tindakan tatatertib terhadap mahasiswa yang berdepan prosiding kerana menyuarakan pandangan atau kritikan.
Beliau berkata, universiti sepatutnya menjadi ruang percambahan idea baharu dan pemikiran kritis, manakala golongan muda perlu berani memperjuangkan keadilan serta memacu perubahan demi membina negara yang berintegriti dan bermaruah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








