Polis Kedah jamin siasatan menyeluruh kes pelajar dirempuh anggota
BALING – Polis Kedah memberi jaminan siasatan menyeluruh dan telus akan dilaksanakan berkaitan kes kematian seorang pelajar lelaki yang dirempuh kenderaan dipandu anggota polis dalam kejadian di Guar Chempedak, baru-baru ini.
Menurut Ketua Polis Kedah, Komisioner Adzli Abu Shah, pihaknya amat kesal dengan insiden berkenaan dan bersimpati kepada keluarga mangsa.
“Semalam kami melakukan lawatan ke rumah keluarga mangsa, saya sendiri amat kesal dan simpati dengan kejadian ini… kita tidak akan bertolak ansur atas kecuaian ini. Kita akan buat siasatan secara menyeluruh tanpa kompromi, termasuk siasatan dalaman oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).
“Pihak polis sudah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian.
“Sebelum itu, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 42(1), namun diklasifikasi semula selepas mangsa meninggal dunia,” katanya.
Adzli berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Taman Angkat AMANITA Kontinjen Kedah Tahun 2025 di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil, di sini hari ini.
Tambahnya, anggota polis yang terlibat dalam kejadian itu sudah ditahan untuk siasatan dan dibebaskan dengan jaminan polis namun masih belum digantung tugas.
Beliau bagaimanapun berkata, pihak polis akan menilai keperluan berkenaan bergantung kepada perkembangan siasatan.
Laporan media sebelum ini menyebut, seorang pelajar yang cedera parah setelah motosikal ditungganginya dirempuh kereta dipandu anggota polis yang dikatakan melanggar isyarat lampu merah di Pekan Guar Chempedak Isnin lepas, meninggal dunia malam kelmarin selepas hampir tiga hari bertarung nyawa.
Pelajar Tingkatan Empat itu, Allahyarham Muhammad Nur Iman Danial Mohd Roshidi, 16, meninggal dunia selepas hampir tiga hari di Unit Rawatan Tapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





