Penunggang basikal maut dirempuh: Pemandu tidak ditahan, hanya diambil keterangan
PUTRAJAYA – Pemandu kereta yang terbabit dalam kemalangan maut sehingga meragut nyawa dua penunggang basikal di Kilometer 9, Jalan Persiaran Selatan di sini malam tadi, masih tidak ditahan polis setakat ini.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, pemandu terbabit telah tampil membuat laporan polis dan keterangannya sudah dirakam bagi membantu siasatan.
“Pemandu kereta tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian berkenaan. Lelaki itu juga telah membuat laporan polis dan keterangannya telah dirakam untuk tujuan siasatan.
“Setakat ini, pemandu terbabit tidak ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi hari ini.
BACA JUGA:
Dua penunggang basikal maut dirempuh kereta di Putrajaya
Dalam kejadian pada pukul 10.15 malam itu, Mohd Hilmi Tahar, 48, dan Syazwan Zharif Abdul Karim, 30, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Sebelum ini, Aidi Sham berkata, siasatan awal mendapati pemandu kereta berkenaan dipercayai mengubah haluan dari lorong tengah ke lorong kiri sebelum merempuh kedua-dua mangsa.
Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi Balai Polis Trafik Putrajaya di talian 03-88862138 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








