BERITA SEMASA

1,400 pemandiri keganasan rumah tangga bakal disantuni menerusi SARI@KRT

KUALA LUMPUR – Seramai 1,400 pemandiri keganasan rumah tangga di seluruh negara bakal menerima sokongan pemulihan dan pemerkasaan menerusi Program Santun Kasih Pemandiri@Keganasan Rumah Tangga (SARI@KRT) tahun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, program anjuran Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) itu menyasarkan sekurang-kurangnya 100 peserta bagi setiap negeri sebagai usaha membantu pemandiri membina semula keyakinan diri dan meneruskan kehidupan dalam persekitaran lebih selamat serta sejahtera.

“Program bertemakan Road to Eliminate Violence Against Women (EVAW) itu akan dilaksanakan melalui Pejabat Pembangunan Wanita Negeri (PPWN) di seluruh negara.

“Pelaksanaannya merangkumi sesi advokasi, perkongsian maklumat, sokongan psikososial, K-Chat serta pemadanan rujukan mengikut keperluan peserta,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, program itu turut membabitkan kerjasama strategik dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bantuan Guaman, agensi berkaitan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurut Nancy, pendekatan berkenaan bukan sekadar memberi maklumat kepada pemandiri, malah membimbing mereka mendapatkan sokongan dan perkhidmatan yang tepat bagi membantu proses pemulihan serta pemerkasaan.

“Program SARI@KRT turut memberi penekanan kepada pengetahuan mengenai hak pemandiri, saluran bantuan dan perkhidmatan yang tersedia, selain menghubungkan mereka dengan sistem sokongan yang bersesuaian,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button