BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

Suzana Abu Bakar tersenarai 100 Wanita Inspirasi Nasional 2026, angkat agenda pewarisan harta

KUALA LUMPUR – Suzana Abu Bakar diiktiraf sebagai antara 100 Wanita Inspirasi Nasional 2026 susulan dedikasinya memperjuangkan kepentingan ilmu pewarisan harta Islam, khususnya dalam kalangan wanita.

Pengiktirafan itu diterima menerusi program anjuran IKSNita Sabah bersama pelbagai agensi strategik yang menghimpunkan wanita daripada pelbagai bidang termasuk akademik, korporat, keusahawanan dan sosial.

Menurut Suzana, pengalaman berdepan realiti kehidupan masyarakat, khususnya wanita yang terkesan akibat ketiadaan perancangan harta, menjadi pemangkin kepada misi hidupnya hari ini.

“Setiap wanita perlu ada ilmu pewarisan harta—bukan untuk harta, tetapi untuk kelangsungan hidup keluarga,” katanya dalam kenyataan.

Suzana berkata, kisah seorang balu yang terpaksa meninggalkan enam anak demi mencari rezeki akibat kegagalan mengurus pusaka menjadi titik perubahan buatnya dalam memperjuangkan bidang tersebut.

Peristiwa itu katanya, bukan sahaja membuka mata beliau, malah mencetuskan tekad bahawa setiap wanita perlu memahami aspek perancangan harta demi kelangsungan hidup keluarga.

Dilahirkan di Temerloh, Pahang, Suzana dibesarkan dalam keluarga yang menitikberatkan nilai keusahawanan sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang Perakaunan di Universiti Utara Malaysia.

Beliau memulakan kerjaya dalam bidang audit hampir sedekad sebelum membuat keputusan memberi keutamaan kepada keluarga, sekali gus mengubah haluan ke bidang perancangan kewangan Islam pada tahun 2005.

Kini, Suzana merupakan Pengarah Eksekutif Kausar Wealth Management Sdn Bhd, sebuah agensi pewarisan harta Islam yang menjadi rakan strategik kepada Wasiyyah Shoppe Berhad.

Dengan pengalaman lebih dua dekad, beliau adalah Perancang Kewangan Berlesen yang memegang Lesen Wakil Pasaran Modal dan Perkhidmatan Kewangan daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, selain memiliki pelbagai kelayakan profesional termasuk Islamic Financial Planner (IFP) dan Shariah Registered Financial Planner (RFPs).

wanita inspirasi
Dari pengalaman hidup kepada pengiktirafan nasional, Suzana Abu Bakar terus memacu kesedaran tentang kepentingan pewarisan harta bagi kelangsungan keluarga.

Pada tahun 2023, beliau menamatkan pengajian Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBM), sekali gus mengukuhkan lagi kepakarannya dalam bidang kepimpinan dan pengurusan.

Di bawah kepimpinannya, Kausar bukan sahaja menyediakan perkhidmatan, malah membina ekosistem ilmu menyeluruh dengan lebih 8,000 pelanggan serta pengurusan aset bernilai RM8 bilion.

Syarikat itu turut memperkenalkan pelbagai inovasi termasuk sistem latihan OSAK, teknologi FAST serta program pembangunan kepimpinan bagi melahirkan perunding pewarisan harta Islam di seluruh negara.

Bagi Suzana, kejayaan tidak diukur pada angka semata-mata, sebaliknya pada kemampuan mengubah kehidupan masyarakat serta melindungi masa depan keluarga.

Pengiktirafan sebagai Wanita Inspirasi Nasional 2026 disifatkan sebagai amanah besar untuk terus menyumbang kepada pembangunan masyarakat.

Menurut beliau, peranan wanita sebagai pemimpin semakin signifikan dalam membentuk masa depan yang mampan.

Melalui akronim W.I.N., beliau menekankan tiga elemen utama iaitu Wisdom (membangun kepakaran dan nilai), Impact (memberi solusi serta mengubah realiti masyarakat) dan Nation Shapers (membina sistem serta masa depan negara).

Dalam pada itu, Suzana menegaskan bahawa pewarisan harta bukan sekadar isu teknikal, sebaliknya berkait rapat dengan nilai kasih sayang.

“Pewarisan harta bukan sekadar tentang angka atau dokumen. Ia adalah tentang bagaimana kita melindungi orang yang kita sayang selepas kita tiada,” jelasnya.

Melalui slogan “Rancang Kerana Sayang”, beliau mengajak masyarakat melihat perancangan harta sebagai satu tanggungjawab yang mampu mewujudkan keharmonian keluarga.

Walaupun pelbagai kejayaan diraih, beliau mengakui tahap kesedaran masyarakat terhadap kepentingan perancangan harta masih rendah selain kekurangan perunding terlatih menjadi cabaran utama industri.

Namun, beliau optimis dengan sasaran melatih sehingga 10,000 perunding serta memperluaskan operasi ke peringkat antarabangsa bagi memastikan manfaat ilmu ini dapat dirasai secara lebih meluas.

Dalam pada itu, di sebalik pencapaian tersebut, Suzana tetap meletakkan keluarga sebagai keutamaan sebagai ibu kepada empat orang anak.

“Keluarga adalah asas kepada segalanya. Jika keluarga kuat, masyarakat akan stabil dan negara akan kukuh,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button