BERITA SEMASADALAM NEGERI

Peguam persoal tindakan SPRM usaha lucut harta Allahyarham Tun Daim

KUALA LUMPUR – Peguam keluarga Allahyarham Tun Daim Zainuddin mempersoalkan kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bahawa agensi itu sedang berusaha melucutkan hak pemilikan harta milik Allahyarham dan keluarga.

Peguam Rajesh Nagarajan mewakili isteri Daim, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dan keluarga mendakwa kenyataan itu tidak masuk akal, dibuat tanpa sebarang asas perundangan, tidak boleh dipertahankan dan bersifat membalas dendam.

Beliau berkata, ia kerana Allahyarham Daim sudah meninggal dunia dan tiada sebarang pertuduhan tertangguh terhadapnya di mahkamah dan beliau juga tidak pernah disabitkan dengan mana-mana kesalahan jenayah.

“Atas dasar apakah asetnya, yang kini ditadbir oleh pentadbir harta pusakanya, boleh dirampas? Adakah SPRM mendapatkan dan menerima nasihat undang-undang sebelum membuat kenyataan demikian?

“Adakah Peguam Negara telah dirujuk dan adakah beliau meluluskannya?

“Ia adalah di luar jangkaan akal bahawa seorang ketua badan penguat kuasa akan mendedahkan agensi itu kepada cemuhan dengan membuat kenyataan jahil tanpa sebarang asas undang-undang, “katanya memetik laporan BH Online.

Peguam itu berkata, ia adalah prinsip asas sistem keadilan bahawa SPRM dan kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk sewenang-wenangnya merampas harta mana-mana warganegara atau harta pusakanya apabila berlaku kematian.

Beliau berkata, pelucutan hak aset hanya dibenarkan jika ‘kesalahan serius’ seperti yang ditakrifkan dalam Jadual Kedua Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001 telah dibuktikan di mahkamah, dan menurut perintah mahkamah.

Katanya, tiada pertuduhan seperti itu pernah dikenakan ke atas Daim, kecuali kesalahan teknikal tidak mengisytiharkan aset iaitu bukan ‘kesalahan berat’.

“Pelucutan hak harta sudah tentu tidak boleh dilakukan ke atas tuntutan terbaharu yang didakwa bukan pengisytiharan aset, yang dibuat oleh Azam semalam.

“Dengan kata lain, harta rakyat tidak boleh dilucut hak begitu sahaja kerana SPRM atau kerajaan mendakwa mempunyai syak wasangka mengenai sumber atau asal usul aset berkenaan.

“Jika itu berlaku, tiada harta sesiapa pun akan selamat. Sejak Anwar Ibrahim (Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim) mengecam secara terbuka terhadap Tun Daim selepas mengambil alih kuasa pada November 2022, tiada sedikit pun bukti telah dihasilkan bagi menyokong dakwaan bahawa Tun Daim bersalah kerana rasuah,” katanya.

SPRM Dakwa Masih Kesan Aset Luar Negara Melebihi RM2 Bilion

 

Azam dalam sidang akhbar semalam berkata, selain harta bernilai tinggi membabitkan RM2 bilion yang kini dibekukan pihaknya, SPRM juga percaya masih ada harta yang tidak diisytiharkan berada di luar negara.

Harta itu, katanya membabitkan yang dimiliki ahli keluarga dan proksi kepada Allahyarham Daim yang juga bekas pemimpin UMNO.

Azam berkata, walaupun ketiadaan beliau (Daim), SPRM ketika ini sedang menuju ke arah(melucutkan harta) dan sedang melihat harta berkaitan yang tidak diisytiharkan pada satu ketika dahulu.

Azam berkata, pihaknya percaya harta yang kini dalam pemerhatian SPRM untuk dilucut hak melebihi RM2 bilion termasuk di luar negara antaranya di Switzerland dan United Kingdom (UK).

Beliau berkata, pegawai penyiasat SPRM sedang berusaha mengesan harta berkenaan termasuklah mengesahkan sama ada ia diperoleh mengikut undang-undang atau tidak.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button