BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki mabuk cabul wanita sedang tidur di bilik sewa ditahan polis

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berusia 24 tahun ditahan polis selepas disyaki menceroboh bilik sewa di tingkat 15 sebuah residensi di Cheras dan mencabul seorang wanita yang sedang tidur, dalam kejadian pagi semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 11.20 pagi sebelum suspek berjaya ditahan.

“Suspek ditahan dalam keadaan berada di bawah pengaruh alkohol. Dia bekerja di sebuah kedai permainan video.

“Suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga 5 Januari bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek datang ke kediaman berkenaan untuk menemui rakannya sebelum bertindak menceroboh bilik mangsa dan mencabul wanita tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan siasatan masih diteruskan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.50 pagi, mangsa berusia 21 tahun dikatakan sedang tidur di dalam bilik sewanya sebelum tersedar apabila badannya ditindih dan dicabul oleh suspek.

Menurut sumber, mangsa menjerit sebaik menyedari kehadiran lelaki berkenaan di dalam bilik tidur, sebelum suspek memberi alasan tersalah masuk bilik.

“Mangsa kemudiannya menghubungi ejen rumah bagi memaklumkan kejadian sebelum membuat laporan polis,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button