BERITA SEMASA

Nancy Shukri luah perasaan rindu pada suami: Tujuh hari begitu panjang, banyak ruang terasa kosong

KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri meluahkan rasa rindu terhadap suaminya yang meninggal dunia seminggu lalu.

Melalui hantaran di Facebook, beliau berkongsi video kenangan bersama suami tercinta.

“Hari ini genap tujuh hari sejak pemergian suami tercinta, Allahyarham Datuk Kamil Misuari.

“Tujuh hari yang terasa begitu panjang. Masih banyak ruang yang terasa kosong, masih banyak kebiasaan yang mengingatkan saya kepada arwah,” tulisnya.

Menurut Nancy, sepanjang lebih 40 tahun melayari kehidupan suka duka dan jatuh bangun bersama, suami sentiasa di sampingnya.

“Suami sentiasa berada di sisi saya dengan kasih sayang, kesabaran dan sokongan yang tidak pernah berbelah bahagi.

“Kehilangannya bukanlah sesuatu yang mudah untuk diterima, namun saya reda dengan ketentuan Allah SWT.

“Saya percaya setiap pertemuan pasti ada perpisahannya. Apa yang tinggal kini ialah doa, kenangan dan segala kebaikan yang pernah ditinggalkan oleh Allahyarham sepanjang hayatnya,” luahnya lagi.

Dalam hantaran itu, Nancy turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh ahli keluarga, sahabat handai, rakan-rakan serta semua yang hadir menziarahi, mengirimkan ucapan takziah dan mendoakan Allahyarham suaminya.

“Setiap doa dan kata-kata yang diberikan menjadi sumber kekuatan buat saya dan seluruh keluarga dalam menghadapi ujian ini.

“Saya akan terus melangkah dengan tabah, membawa amanah dan meneruskan perjuangan, sebagaimana yang sentiasa didorong dan didoakan oleh Allahyarham sepanjang beliau bersama saya.

“Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa suami, melapangkan kuburnya, mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button