BERITA SEMASA

PH kempen berasaskan fakta, bukan fitnah – Fahmi Fadzil

BATU PAHAT – Pakatan Harapan (PH) akan memulakan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor secara rasmi selepas proses penamaan calon esok dengan menampilkan pendekatan berasaskan fakta dan rekod pencapaian, bukannya fitnah.

Pengarah Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil berkata, jentera parti telah bersedia untuk turun berkempen di 20 kerusi yang ditandingi oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Menurutnya, Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dijadualkan mengiringi calon PH, Onn Abu Bakar pada hari penamaan calon di Senggarang.

“Kempen akan bermula secara rasmi esok selepas penamaan calon. Kita akan membantu rakan-rakan media mendapatkan maklumat mengenai calon-calon PKR dan PH sepanjang tempoh kempen,” katanya pada sidang media selepas Program Hasrat MADANI di sini hari ini.

Beliau berkata, Nurul Izzah telah melancarkan manifesto PKR yang mengandungi 63 tekad, manakala PH akan memperincikan manifesto khusus untuk Johor dalam masa terdekat.

“Kita akan persembahkan kepada Bangsa Johor idea, cadangan dan ikhtiar yang akan digerakkan oleh PH berdasarkan fakta serta pengalaman pentadbiran yang telah terbukti,” katanya lagi.

Fahmi berkata, hubungan yang erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri penting bagi memastikan lebih banyak projek pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Menurut beliau, Kerajaan MADANI berjaya mempercepatkan pelaksanaan pelbagai projek yang sebelum ini tertangguh termasuk projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura yang kini semakin menghampiri realiti.

“Kita percaya apabila kepimpinan di peringkat pusat dan negeri bergerak seiring serta mampu bekerjasama dengan baik, lebih banyak pencapaian dapat dilaksanakan untuk rakyat.

“Salah satu tekad PH ialah memastikan jurang pembangunan dan ekonomi antara daerah-daerah di Johor dapat dirapatkan supaya manfaat pembangunan dapat dinikmati secara lebih menyeluruh,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, kemampuan PH bukan sekadar janji politik, sebaliknya telah dibuktikan menerusi pentadbiran di negeri-negeri yang diterajui gabungan itu seperti Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Katanya, PH mempertaruhkan beberapa calon berpengalaman termasuk Maszlee Malik dan Onn Abu Bakar yang mempunyai pengalaman dalam pentadbiran negeri.

Beliau yakin pengalaman serta kredibiliti calon-calon tersebut mampu membawa perubahan positif kepada Johor sekiranya diberikan mandat oleh rakyat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button