BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Kastam gagalkan transit cip AI, rampas vape mengandungi dadah bernilai RM54.11 juta

SEPANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menggagalkan cubaan menjadikan Malaysia sebagai laluan transit bagi penghantaran 72 unit pelayan (server) mengandungi cip kecerdasan buatan (AI) bernilai RM52.92 juta, selain merampas ribuan kartrij vape disyaki mengandungi methamphetamine bernilai RM1.19 juta dalam dua operasi berasingan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pengarah Kastam KLIA, Zulkifli Muhammad berkata, rampasan melibatkan 72 unit server mengandungi Advanced AI Chip itu dilakukan hasil pemeriksaan anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM KLIA di sebuah gudang di Zon Perdagangan Bebas pada kira-kira pukul 4.30 petang, 5 Jun lalu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kesemua server berkenaan dibawa masuk dari sebuah negara Asia menggunakan satu Air Waybill sebelum dipercayai akan dieksport semula ke sebuah lagi negara di rantau yang sama.

“Siasatan awal mendapati server berkenaan disyaki tertakluk kepada transaksi melibatkan barang tidak tersenarai dan aktiviti terhad di bawah Akta Perdagangan Strategik 2010,” katanya pada sidang media di Kompleks Kastam KLIA, hari ini.

Beliau berkata, sindiket dipercayai mengikrarkan server tersebut sebagai perkakasan komputer bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, selain menggunakan Malaysia sebagai negara transit sebelum penghantaran ke destinasi akhir.

Katanya, seorang ejen penghantaran warga tempatan telah ditahan bagi membantu siasatan, manakala syarikat pengendali penghantaran turut dipanggil untuk dirakam keterangan.

“Mana-mana pihak yang ingin mengeksport atau membawa masuk secara transit cip AI yang dikategorikan perlu memaklumkan kepada Sekretariat Perdagangan Strategik sekurang-kurangnya 30 hari lebih awal sebelum memohon permit di bawah Akta Perdagangan Strategik,” katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Perdagangan Strategik 2010 yang memperuntukkan denda sehingga RM10 juta atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali bagi individu, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM20 juta jika sabit kesalahan.

Dalam perkembangan berasingan, Zulkifli berkata, JKDM turut merampas 4,760 kartrij cecair vape disyaki mengandungi dadah jenis methamphetamine bernilai RM1.19 juta dalam serbuan di Ground Team Red (GTR), Zon Perdagangan Bebas KLIA pada 10 Jun lalu.

Beliau berkata, enam kotak berbalut plastik hitam itu dipercayai cuba dieksport ke sebuah negara jiran dengan diikrarkan sebagai komponen alat ganti komputer.

“Sindiket menyembunyikan kartrij vape berkenaan di dalam casing unit pemprosesan pusat (CPU) bagi mengaburi pihak berkuasa ketika menggunakan perkhidmatan kargo udara,” katanya.

Menurut beliau, tiga individu warga tempatan daripada syarikat penghantaran telah dipanggil bagi membantu siasatan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala keseluruhan nilai rampasan bagi kedua-dua kes dianggarkan berjumlah RM54.11 juta.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button