KPDN bongkar stor seleweng minyak masak subsidi, enam ditahan
SHAH ALAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) membongkar kegiatan penyelewengan minyak masak paket bersubsidi selepas menyerbu dua stor di Bandar Pinggiran Subang dan Jalan Bakti, di sini menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu), Rabu lalu.
Dalam operasi itu, pihak berkuasa merampas pelbagai barangan termasuk 6,426 kilogram minyak masak paket bersubsidi dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM129,874.50.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua premis terbabit dijadikan lokasi penyimpanan minyak masak paket bersubsidi sebelum kandungannya dipindahkan daripada bungkusan asal untuk dijual kepada pemborong minyak masak terpakai.
Menurutnya, sindiket dipercayai menggunakan taktik itu bagi mengaut keuntungan melalui penyalahgunaan barang kawalan bersubsidi.
“Siasatan awal turut mendapati pengendali premis gagal mengemukakan sebarang lesen atau dokumen sah berkaitan aktiviti penyimpanan serta urus niaga barang kawalan berjadual.
“Pasukan serbuan turut menyita 13 unit tangki IBC, empat tangki simpanan, enam tong dram, tiga pam elektrik bersama corong dan hos penyambung, sebuah lori, peralatan memotong bungkusan minyak masak, kotak pembungkusan serta beberapa unit telefon bimbit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, enam lelaki berusia lingkungan 30-an ditahan bagi membantu siasatan, membabitkan seorang warga tempatan dan lima warga asing.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana disyaki menjalankan urus niaga barang kawalan berjadual tanpa lesen sah daripada Pengawal Bekalan.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti pembabitan individu atau syarikat lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan ini,” katanya.
Sementara itu, Azman memaklumkan sejak Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) dilancarkan pada 16 Mac lalu, KPDN telah merekodkan 137 kes penyelewengan minyak masak bersubsidi dengan jumlah rampasan mencecah 165,568 kilogram bernilai RM615,936.02.
Menurutnya, Sabah merekodkan jumlah kes tertinggi iaitu 36 kes dengan nilai rampasan RM72,265.46, manakala Putrajaya mencatat kuantiti rampasan terbesar sebanyak 55,445 kilogram menerusi empat kes.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








