POLITIK

22,339 anggota PDRM, ATM undi awal PRN Negeri Sembilan

SEREMBAN – Seramai 22,339 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Negeri Sembilan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama pasangan akan menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 menerusi proses undi awal yang dijadual berlangsung pada 28 Julai ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, jumlah itu membabitkan 5,455 pegawai dan anggota PDRM serta 16,884 anggota ATM bersama pasangan.

“Seramai 1,796 pegawai dan anggota akan bertugas di semua zon pada hari pengundian awal tersebut,” katanya memetik laporan RTM semalam.

Beliau berkata, bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya, PDRM akan menggerakkan 2,393 pegawai dan anggota pada hari penamaan calon, 1,685 anggota sepanjang tempoh berkempen serta 4,788 pegawai dan anggota pada hari pengundian.

Dalam pada itu, Alzafny berkata, PDRM memberi penekanan kepada semua pihak supaya mengelakkan isu 3R membabitkan agama, kaum dan institusi diraja, termasuk ketika ceramah politik, penyediaan bahan kempen, kenyataan kepada media serta kandungan di media sosial.

“Semua calon, penyokong dan orang ramai diingatkan supaya menerima keputusan pilihan raya dengan penuh kematangan serta menggunakan saluran perundangan yang disediakan sekiranya ingin mengemukakan sebarang bantahan, tanpa mengambil tindakan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua parti politik supaya mengawal penyokong masing-masing sepanjang tempoh berkempen bagi memastikan PRN Negeri Sembilan berlangsung dalam suasana aman, tertib dan harmoni.

“Elakkan sebarang bentuk provokasi, perarakan tanpa kebenaran, penyebaran berita palsu, fitnah, ucapan berbaur kebencian dan kenyataan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button