POLITIK

Anwar sifatkan Aminuddin pemimpin amanah, rayu rakyat N9 kekalkan kepimpinan PH

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai pemimpin yang mengutamakan amanah dan kerja untuk rakyat berbanding kepentingan diri.

Perdana Menteri berkata, sepanjang bekerjasama dengan Aminuddin, beliau melihat Menteri Besar Negeri Sembilan itu lebih banyak memberi tumpuan kepada tanggungjawab serta kebajikan rakyat, berbanding bercakap mengenai dirinya sendiri.

“Sepanjang bekerja bersama saudara Aminuddin Harun, saya melihat seorang Menteri Besar yang mengutamakan amanah. Beliau tidak banyak berbicara soal dirinya, sebaliknya memberi tumpuan kepada kerja dan kebajikan rakyat,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Baca juga : Loke dakwa ada ‘penderhaka’ cuba jatuhkan Tok Min ketika krisis Negeri Sembilan

Anwar berkata, keserasian antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan turut membolehkan pelbagai projek serta inisiatif dilaksanakan dengan lebih lancar demi manfaat rakyat Negeri Sembilan.

Semalam, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mengumumkan 36 calon PH yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Menurut beliau, kesinambungan kepimpinan yang stabil amat penting ketika negeri itu berada pada landasan pembangunan yang baik.

“Negeri Sembilan memerlukan sebuah kerajaan yang bersih, berwibawa dan mampu memastikan agenda pembangunan terus dipacu, pelaburan terus masuk, peluang pekerjaan terus diwujudkan serta kebajikan rakyat terus dipelihara,” katanya.

Sehubungan itu, Anwar merayu seluruh rakyat Negeri Sembilan tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang supaya memberikan mandat kepada PH untuk meneruskan usaha berkenaan.

Beliau berkata, mandat itu bukan bertujuan mengangkat mana-mana individu, sebaliknya memastikan segala perancangan yang telah dimulakan dapat disempurnakan demi kesejahteraan rakyat, anak-anak serta generasi akan datang.

“Oleh sebab itu, saya dengan penuh rendah diri merayu kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan, tanpa mengira kaum, agama mahupun latar belakang, agar memberikan mandat kepada HARAPAN untuk meneruskan usaha ini,” katanya.

Anwar berkata, sekiranya terus diberi kepercayaan, kerajaan akan bekerja lebih kuat, mendengar suara rakyat dengan lebih dekat serta memikul amanah dengan penuh tanggungjawab.

Katanya, usaha itu penting bagi memastikan Negeri Sembilan terus berkembang sebagai sebuah negeri yang makmur, stabil dan maju.

“Insya-Allah, jika terus diberi kepercayaan, kami akan bekerja dengan lebih kuat, mendengar dengan lebih dekat dan memikul amanah ini dengan penuh tanggungjawab agar Negeri Sembilan terus melangkah sebagai sebuah negeri yang makmur, stabil dan maju,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button