POLITIK

PRN Negeri Sembilan: Syahredzan bidas PN terus main sentimen DAP, dakwa tiada tawaran jelas kepada rakyat

SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) mendakwa Perikatan Nasional (PN) masih bergantung kepada sentimen terhadap DAP dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan tanpa mengemukakan tawaran yang jelas kepada rakyat.

Naib Pengerusi DAP, Syahredzan Johan berkata, dakwaan bahawa mengundi PH bermakna memberi kuasa kepada DAP merupakan naratif lama yang tidak lagi relevan memandangkan parti itu telah lama menjadi sebahagian daripada kerajaan di beberapa peringkat.

Menurutnya, sepanjang kerjasama dalam kerajaan negeri dan Persekutuan sebelum ini, isu melibatkan DAP tidak pernah menjadi alasan kepada mana-mana pihak untuk menarik sokongan.

“Beberapa bulan lalu ketika bersama dalam Kerajaan Negeri Sembilan, tidak timbul pun masalah mengenai DAP. Di peringkat Persekutuan, Perak dan Pahang juga tidak ada isu.

“Tetapi apabila musim kempen, mereka kembali dengan naratif ‘undi PH, dapat DAP’. Saya sendiri tidak faham jenis politik seperti ini,” katanya pada sidang media PH di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas video kempen yang dikongsikan pemimpin PN yang mengaitkan undi kepada PH dengan DAP.

Syahredzan turut mempersoalkan kegagalan PN mengemukakan manifesto serta hala tuju jelas untuk Negeri Sembilan.

“Sehingga kini kempen PN lebih tertumpu kepada memainkan sentimen politik berbanding menawarkan penyelesaian kepada isu yang dihadapi rakyat.

“Rakyat mahu tahu apa yang mereka boleh lakukan untuk Negeri Sembilan, bukannya asyik mengulang-ulang isu DAP,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut membidas kenyataan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang didakwa menyatakan Setiausaha Agung DAP berpotensi menjadi Menteri Besar sekiranya Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun tewas pada PRN kali ini.

Menurut Syahredzan, kenyataan tersebut menunjukkan kegagalan memahami Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan yang menetapkan jawatan Menteri Besar hanya boleh disandang oleh seorang Melayu dan beragama Islam.

“Peruntukan itu jelas. Tidak ada sebarang kemungkinan dalam keadaan semasa untuk seorang bukan Islam dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.

“Malah kenyataan sedemikian juga seolah-olah mendahului kuasa Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang mempunyai bidang kuasa dalam pelantikan tersebut,” katanya lagi.

Beliau menyifatkan kenyataan berkenaan sebagai cubaan memainkan sentimen politik semata-mata tanpa menawarkan agenda pembangunan yang boleh memberi manfaat kepada rakyat Negeri Sembilan.

“Sehingga hari ini mereka tidak bercakap mengenai perancangan untuk negeri ini. Apa yang ada hanyalah usaha memainkan sentimen bagi meraih sokongan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button