Aminuddin tenang selepas PRN Negeri Sembilan, luang masa kemas rumah kampung
SEREMBAN – Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dilihat menerima keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan hati terbuka apabila berkongsi rutin hariannya mengemas rumah kampung menerusi media sosial, sekali gus meraih pujian netizen.
Menerusi hantaran di akaun Threads miliknya, Aminuddin turut menzahirkan penghargaan kepada orang ramai yang terus memberikan kata-kata semangat dan sokongan selepas keputusan pilihan raya.
“Apa khabar semua? Terima kasih atas ucapan yang baik-baik, saya baca satu per satu. Alhamdulillah. Agenda hari ini, kemas barang-barang yang dipindahkan di rumah kampung,” katanya.
Perkongsian itu mendapat perhatian ramai dengan kebanyakan pengguna media sosial memuji sikap beliau yang kekal positif dan berlapang dada meskipun tidak lagi menerajui pentadbiran Negeri Sembilan.
Seorang pengguna Threads, @Syapiksaad menyifatkan Aminuddin atau lebih mesra dipanggil ‘Tok Min’ sebagai seorang pemimpin yang tetap ceria walaupun berdepan kekalahan.
“Bayangkan Tok Min yang kalah pun senyum ceria macam menang. Tak apa, kita tengoklah mereka selesaikan isu adat Negeri Sembilan,” tulisnya.
Sementara itu, seorang lagi pengguna, @Fanamz merakamkan penghargaan atas sumbangan Aminuddin sepanjang menerajui negeri, khususnya dalam membantu golongan pelajar.
“Terima kasih Tok Min. Kerana Tok Min, saya sebagai bekas pelajar Negeri Sembilan banyak mendapat bantuan belajar dahulu,” katanya.
Aminuddin sebelum ini mengetuai pentadbiran Negeri Sembilan selama dua penggal sebelum gabungan Pakatan Harapan tewas pada PRN ke-16, sekali gus menyaksikan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pentadbiran negeri.
Beliau tewas kepada pencabarnya, Datuk Mohd Faizal Ramli daripada Barisan Nasional (BN) yang meraih kemanangan dengan majoriti 2,976 undi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















