AGAMA

Wanita dalam idah kematian suami dibenar buat live media sosial, tertakluk syariat

KUALA LUMPUR – Wanita yang sedang menjalani idah selepas kematian suami dibenarkan melakukan siaran langsung (live) di media sosial sekiranya ia bertujuan mencari sumber pendapatan seperti menjual barangan, mengajar atau menyampaikan ilmu, namun perlu mematuhi garis panduan idah dan ihdad yang ditetapkan syarak.

Menurut penjelasan daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, aktiviti live tidak termasuk dalam larangan ketika menjalani idah dan ihdad selagi kandungannya berfaedah serta tidak bercanggah dengan syariat.

Bagaimanapun, sekiranya live dilakukan tanpa tujuan yang munasabah, ia sewajarnya dielakkan bagi menghindari fitnah, terutama apabila siaran berkenaan boleh ditonton oleh lelaki ajnabi.

Menurut hukum syarak, tempoh idah wanita yang kematian suami adalah selama empat bulan 10 hari, sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 234.

“Dan mereka yang meninggal dunia dalam kalangan kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan 10 hari.”

Dalam tempoh itu, wanita yang kematian suami diwajibkan menjalani ihdad atau berkabung sebagai tanda dukacita terhadap pemergian suami.

Ihdad merangkumi larangan berhias dengan perkara yang boleh menarik perhatian lelaki ajnabi, termasuk memakai pakaian tertentu, perhiasan, wangian dan solekan.

Perkara itu berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan Ummu ‘Atiyyah bahawa seorang wanita tidak dibenarkan berkabung atas kematian seseorang melebihi tiga hari, kecuali atas kematian suaminya yang tempohnya empat bulan 10 hari.

Walaupun dilarang berhias, wanita dalam tempoh ihdad masih dibenarkan menjaga kebersihan dan diri seperti memotong kuku, menggunakan sabun serta menjaga kebersihan pakaian dan rumah kerana ia merupakan keperluan asas.

“Dalam konteks kehidupan pada zaman teknologi, medium media sosial kini turut menjadi sumber pendapatan bagi sebahagian wanita, termasuk melalui aktiviti menjual barangan, mengajar, berkongsi ilmu dan urusan lain yang diharuskan syarak.

“Justeru, idah dan ihdad tidak menjadi penghalang secara mutlak kepada wanita kematian suami daripada melakukan live, memuat naik video atau bercakap di khalayak ramai selagi aktiviti itu dilakukan dalam batas syariat,” jelasnya.

Bagaimanapun, wanita terbabit perlu memastikan pakaian yang dipakai sopan, tidak melakukan tabarruj atau berhias secara berlebihan ketika live serta mengelakkan sebarang perbuatan yang bertentangan dengan akhlak Islam dan suasana ihdad.

Keadaan itu bukan hanya perlu diberi perhatian sepanjang tempoh idah, malah sewajarnya menjadi panduan kepada wanita Muslimah dalam penggunaan media sosial pada setiap masa.

Pensyariatan ihdad pada asasnya bertujuan menutup pintu fitnah dan memelihara maruah wanita, khususnya dalam tempoh selepas kehilangan suami.

Sehubungan itu, live di media sosial ketika idah kematian suami tidak dilarang secara mutlak, sebaliknya perlu dilaksanakan dengan menjaga niat, adab, penampilan dan kandungan.

Aktiviti berkenaan juga tidak termasuk dalam maksud keluar rumah yang dilarang ketika menjalani ihdad, namun sekiranya mengandungi unsur pendedahan aurat, berhias secara berlebihan atau melalaikan, maka ia tidak dibenarkan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button