AGAMA

Industri seni perlu jadikan prinsip Islam, budaya tempatan panduan – Mufti WP

KUALA LUMPUR – Penggiat seni, penerbit dan stesen penyiaran diseru supaya menjadikan prinsip Islam serta nilai budaya tempatan sebagai panduan utama dalam menghasilkan setiap karya.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, industri seni dan platform media seharusnya dimanfaatkan sebagai medium untuk mendidik jiwa, membina sahsiah bangsa serta menyemai nilai-nilai murni dalam masyarakat.

“JMWP berpandangan penerapan unsur-unsur yang menyentuh sensitiviti agama serta norma budaya tempatan, sama ada secara langsung atau tersirat, perlu dibendung segera.

“Karya yang dihasilkan hendaklah bertanggungjawab, tidak mencetuskan polemik serta tidak menjejaskan keharmonian dan akhlak masyarakat, khususnya generasi muda,” katanya dalam kenyataan di Facebook semalam.

Ahmad Fauwaz berkata JMWP mengambil maklum dan melahirkan rasa kesal terhadap penayangan drama Madu atau Racun yang telah menimbulkan keresahan dan kontroversi dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata Islam meletakkan keutamaan yang tinggi terhadap pemeliharaan kesucian akidah, institusi kekeluargaan dan tatasusila dalam kehidupan beragama.

Menurut Ahmad Fauwaz, sebarang bentuk pemaparan gaya hidup, nilai atau naratif yang bertentangan dengan ajaran Islam dan budaya ketimuran jelas bercanggah dengan prinsip Maqasid Syariah dalam memelihara agama, akal, maruah, keturunan dan harta.

“Kepada seluruh umat Islam di Wilayah Persekutuan, marilah kita bersama-sama mempertahankan kesucian agama, memelihara akhlak dan bijaksana dalam memilih tontonan agar pegangan akidah serta jati diri umat sentiasa terpelihara.

“Semoga Allah SWT memelihara negara kita daripada sebarang pengaruh yang boleh merosakkan nilai dan moral masyarakat,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan semalam berkata pihaknya menolak penayangan drama Madu atau Racun selain kesal dengan tindakan menerapkan elemen yang menyentuh sensitiviti agama dan norma budaya tempatan, sama ada secara tersurat mahupun tersirat.

Menteri Komunikasi yang juga jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia (CMCF) bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mengadakan pertemuan dengan pihak produksi dan platform penstriman iQIYI semalam bagi mendapatkan penjelasan menyeluruh berhubung kandungan drama Madu atau Racun.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib pula berkata platform penstriman iQIYI bersetuju menurunkan sementara enam episod drama berkenaan yang telah disiarkan manakala baki enam episod ditangguhkan bagi membolehkan kesemua 12 episod disunting dan dinilai semula.

Madu atau Racun ialah sebuah siri drama televisyen 12 episod terbitan MIG Production Sdn Bhd yang mula ditayangkan di platform penstriman iQIYI pada 14 Ogos lepas.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button