AGAMABERITA SEMASARENCANA

Menegur pemimpin dalam batasan syarak dan maqasid syariah

DALAM era digital dan keterbukaan maklumat hari ini, penentangan terhadap pemimpin melalui demonstrasi dan media sosial semakin menjadi kebiasaan dalam landskap politik moden.

Fenomena ini mencerminkan amalan demokrasi yang dibenarkan selagi mana ia tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip Islam. Namun begitu, tindakan yang keterlaluan boleh membawa kepada fitnah serta menggugat kestabilan negara.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam Siri 323 Bayan Linnas di lama web agensi itu memperjelaskan konsep dan batasan dalam adab menegur pemimpin.

Menurut tulisan itu, Islam tidak menolak usaha memperbetul kepincangan kepimpinan, malah mengiktirafnya sebagai satu bentuk jihad.

Namun, pendekatannya mestilah berhemah, berasaskan ilmu serta tidak memudaratkan masyarakat.

Muwājahah Silmiyyah: Antara prinsip dan pelaksanaan

Konsep muwājahah silmiyyah iaitu pendekatan damai dalam menegur pemimpin yang perlu difahami dalam kerangka yang tepat.

Jihad dalam Islam tidak terbatas kepada perjuangan bersenjata semata-mata, sebaliknya merangkumi pelbagai bentuk perjuangan termasuk usaha menyampaikan kebenaran kepada pemerintah secara berani dan ikhlas. Sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Jihad yang paling utama adalah menyampaikan kebenaran di hadapan pemerintah yang zalim.” (Riwayat Abu Dawud dan Tirmizi)

Hadis itu jelas menunjukkan bahawa menegur pemimpin adalah satu bentuk jihad yang mulia namun ia harus dilaksanakan dengan penuh hikmah dan etika agar tidak membawa kepada kerosakan yang lebih besar.

Pendekatan Imam al-Ghazālī dan imbangan maqasid

Imam al-Ghazālī menegaskan terdapat dua pendekatan utama dalam menegur pemimpin, iaitu menerusi penjelasan dan nasihat.

Teguran keras hanya wajar dilakukan sekiranya ia tidak membawa kepada keresahan awam atau mengganggu kestabilan negara.

Malah, segala bentuk kritikan harus disampaikan secara tertutup penuh tanggungjawab dan bebas daripada unsur provokasi.

Setiap bentuk muwājahah perlu dinilai menurut prinsip maqasid syariah yang menekankan perlindungan terhadap agama, nyawa, akal, harta dan maruah.

Tanpa panduan maqasid, penentangan yang kelihatan aman mungkin mengundang kerosakan lebih besar kepada negara dan masyarakat.

Menjaga kesejahteraan negara dan ummah

Keamanan hakiki hanya akan tercapai apabila wujud kepimpinan yang adil, disokong oleh sistem sosial dan ekonomi yang mampan.

Dalam konteks ini, maqasid syariah juga menuntut agar suasana yang kondusif diwujudkan demi pemeliharaan akal, kesejahteraan jasmani dan keperluan asas rakyat.
Maka, segala bentuk penentangan yang mengabaikan pertimbangan itu sewajarnya dinilai dengan teliti.

Jika tindakan yang didakwa aman menyebabkan ketidakstabilan politik, menggugat ekonomi atau mencetuskan keresahan awam, maka ia bertentangan dengan prinsip syariah yang mengutamakan kemaslahatan dan menolak kemudaratan.

Tindakan tanpa pertimbangan hikmah hanya akan menambahkan keburukan.

Mengislahkan Muwājahah: Kembali kepada hikmah dan strategi

Sebagai kesimpulan, prinsip amar makruf nahi mungkar menuntut umat Islam untuk menegur kepincangan termasuk dalam hal kepimpinan.

Namun, pelaksanaannya mestilah berlandaskan syarak, mengambil kira maslahat dan mengelakkan kemudaratan.

Dalam realiti semasa, umat Islam perlu memilih pendekatan berhikmah dan strategik. Nasihat kepada pemimpin hendaklah disampaikan melalui dialog, wacana ilmiah dan hujah berasas, bukannya melalui emosi atau provokasi yang menggugat ketenteraman.

Keberanian menyuarakan kebenaran mestilah disertai dengan hikmah, adab dan pertimbangan syariah.

Inilah naratif jihad moden yang perlu diangkat iaitu jihad dengan lidah dan pena, yang membawa kepada islah dan pembaikan masyarakat.

Pendekatan ini bukan sahaja sejajar dengan ajaran Islam, malah lebih sesuai dengan norma masyarakat bertamadun dan berperadaban tinggi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button