BERITA SEMASA

Semua pemimpin sahkan kehadiran ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47

KUALA LUMPUR – Semua pemimpin negara ASEAN dan rakan dialog telah mengesahkan kehadiran mereka ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober ini.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, hanya kehadiran Presiden Rusia, Vladimir Putin, yang masih belum disahkan buat masa ini.

“Semua pemimpin termasuk rakan dialog yang akan menghadiri mesyuarat seperti Sidang Kemuncak Asia Timur dan sidang berkaitan lain telah mengesahkan kehadiran mereka.

“Buat masa ini, semua pemimpin negara anggota ASEAN telah mengesahkan, cuma penyertaan Presiden Vladimir Putin masih belum pasti.

“Sekiranya beliau hadir, kemungkinan selepas keberangkatan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump,” katanya selepas meninjau persiapan sidang kemuncak itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Mohamad berkata, kehadiran penuh para pemimpin itu menjadi kebanggaan buat Malaysia sebagai tuan rumah dan pihaknya sedang melakukan persiapan rapi bagi memastikan kelancaran sepanjang sidang berlangsung.

Menurut beliau, kira-kira 12,000 delegasi dijangka hadir ke sidang tersebut, manakala antara 16,000 hingga 20,000 anggota keselamatan akan ditugaskan bagi mengawal keselamatan dan kelancaran acara.

Terdahulu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memaklumkan bahawa ketua jabatan kini dibenarkan meluluskan permohonan bekerja dari rumah (BDR) bagi penjawat awam yang tinggal dalam radius 25 kilometer dari tempat kerja, khususnya bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas semasa sidang berlangsung.

Mohamad turut menyeru penjawat awam yang tidak terlibat secara langsung supaya mematuhi arahan tersebut bagi memastikan kelancaran urusan dan pengurusan trafik sepanjang tempoh persidangan.

“Saya berharap orang ramai memahami bahawa akan berlaku kesesakan dan sekatan di sekitar kawasan KLCC kerana beberapa zon akan ditutup atas faktor keselamatan.

“Diharapkan rakyat Malaysia dapat memberikan kerjasama dengan mengelak perjalanan yang tidak perlu di kawasan berkenaan antara 26 hingga 28 Oktober ini,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button