BERITA SEMASA

Negara ASEAN perlu responsif cabaran keselamatan yang berubah – Mohamed Khaled

LUANG PRABANG, Laos – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyuarakan pandangan Malaysia mengenai cabaran keselamatan serantau yang dinamik dan menekankan kepentingan bagi negara ASEAN untuk terus bersiap sedia dan sentiasa responsif terhadap cabaran keselamatan yang semakin berubah.

Pandangan itu dikongsikan beliau ketika menghadiri Sesi Permukiman Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN yang diadakan di Luang Prabang, Laos, semalam.

Dalam mesyuarat yang sama, Mohamed Khaled turut membangkitkan mengenai kemajuan dan strategi Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) pasca-2025, dengan mengambil kira pencapaian pelaksanaan Pelan Tindakan Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN 2025.

Katanya, ADMM dan ADMM-Plus memainkan peranan penting selaku platform utama dalam mempromosikan dialog pertahanan dan keselamatan serta kerjasama praktikal untuk meningkatkan keamanan, keselamatan dan kestabilan serantau.

Sesi Permukiman tersebut disertai oleh 10 negara anggota ASEAN dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan Laos, Jeneral Chansamone Chanyalath.

Ketika di Laos, Mohamed Khaled berkesempatan mengadakan pertemuan dua hala dengan Chanyalath.

Antara perkara yang dibincangkan termasuk mengenai pelbagai isu strategik yang berkepentingan kepada kedua-dua negara termasuk kepentingan untuk mengekalkan kepusatan dan perpaduan ASEAN.

Pertemuan sama turut diadakan dengan Menteri Pertahanan Thailand, Sutin Klungsang, dengan perkara dibincangkan termasuk mengenai pengukuhan kawasan sempadan kedua-dua buah negara.

Dalam pertemuan itu, Mohamed Khaled turut mencadangkan supaya Malaysia dan Thailand memeterai satu memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang industri pertahanan dan ketenteraan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button