BERITA SEMASADALAM NEGERI

ASEAN adakan mesyuarat khas bincang isu Kemboja–Thailand

KUALA LUMPUR – Menteri-menteri luar dan pegawai kanan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dijadual berhimpun di ibu negara tengah hari ini bagi menghadiri Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) untuk meneliti perkembangan terkini hubungan antara Kemboja dan Thailand.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan

Mesyuarat berkenaan akan dipengerusikan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan dijangka disertai 23 menteri luar serta pegawai kanan ASEAN, termasuk Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn.

Kemboja mengesahkan kehadiran Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar, Prak Sokhonn, menerusi kenyataan Kementerian Luar negara itu yang dimuat naik di Facebook, semalam.

Sementara itu, Thailand turut mengesahkan penyertaan wakilnya apabila Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Kementerian Luar, Nikorndej Balankura pada Jumaat memaklumkan Menteri Luar, Sihasak Phuangketkeow akan menghadiri mesyuarat tersebut.

Antara menteri luar lain yang dijangka hadir ialah Sugiono (Indonesia), Thongsavanh Phomvihane (Laos), Dr. Vivian Balakrishnan (Singapura), Bendito dos Santos Freitas (Timor-Leste) serta Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Theresa P. Lazaro.

Brunei pula dijangka diwakili Menteri Kedua Hal Ehwal Luar Negeri, Dato Seri Setia Erywan Pehin Datu Pekerma Jaya Mohd Yusof, manakala Vietnam akan menghantar Timbalan Menteri Luar, Dang Hoang Giang.

Pegawai Myanmar pula dijangka menyertai mesyuarat itu secara dalam talian.

Dalam kenyataan berasingan, Kementerian Luar memaklumkan mesyuarat khas berkenaan diadakan selaras dengan keputusan yang dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Kemboja dan Thailand pada 11 Disember lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button