Malaysia sedia hantar pemantau ke sempadan Thailand-Kemboja jika perlu
KUALA LUMPUR – Malaysia dan negara anggota ASEAN sedia menghantar pasukan pemantau ke sempadan yang menjadi pertikaian antara Thailand dan Kemboja, sekiranya kedua-dua negara itu bersetuju untuk menerima kehadiran pasukan tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, situasi semasa di kawasan sempadan masih dalam keadaan terkawal dan dipantau secara berterusan menggunakan satelit.
“Dalam perundingan saya dengan semua ketua-ketua ASEAN, semuanya sepakat, jika diminta oleh kedua-dua negara.
“Sekarang ini keadaan terkawal, satelit dapat memantau,” katanya semasa menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau memaklumkan bahawa keputusan selanjutnya akan dibuat menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) antara Thailand dan Kemboja yang dijadual berakhir pada 7 Ogos ini.
“Kemudian Atase Pertahanan hadir, diselaras oleh Malaysia dihadiri semua Atase Pertahanan Thailand dan kita tunjukkan kesediaan kita. Oleh itu kita tunggu keputusan pada 7 Ogos ini,” katanya.
Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan Dr. Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani), Perdana Menteri menjelaskan bahawa beliau telah diberi mandat untuk membantu menyelesaikan konflik antara Thailand dan Kemboja sehingga krisis itu selesai sepenuhnya.
Mandat itu, katanya, tidak tertakluk kepada kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN yang akan tamat pada tahun hadapan, memandangkan penyelesaian dijangka diperoleh dalam tempoh tiga bulan.
“Tetapi dalam mana-mana rundingan kita tidak boleh hadkan. Cuma yang kita tegaskan mesti berlaku gencatan senjata. Dengan cara ini kita elakkan penyertaan dan penglibatan dengan kuasa-kuasa besar di antara rundingan di antara Negara ASEAN.
“Kalaupun ada pasukan pendamai di sempadan, haruslah hanya terbatas kepada kehadiran wakil-wakil atau tentera negara ASEAN. Kalau bantuan logistik dari Amerika Syarikat dan China itu kita alu-alukan,” jelas beliau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








