BERITA SEMASA

Malaysia dipilih lokasi sulung AI Vision Forum 2026, perkukuh aspirasi jadi hab AI ASEAN

KUALA LUMPUR – Malaysia dipilih sebagai negara pertama penganjuran AI Vision Forum 2026 sekali gus mengukuhkan keyakinan industri teknologi antarabangsa terhadap potensi negara ini sebagai hab kecerdasan buatan (AI) perusahaan di rantau ASEAN.

Forum anjuran Dimennet Sdn Bhd yang berlangsung semalam, menghimpunkan lebih 150 pemimpin industri, pembuat keputusan korporat, penyedia teknologi AI serta pelabur bagi membincangkan perkembangan terkini AI khususnya penyelesaian berasaskan Agentic AI yang mampu mempercepatkan transformasi digital perusahaan.

foum
Forum ini menghimpunkan lebih 150 pemimpin industri, pembuat keputusan korporat, penyedia teknologi AI serta pelabur bagi membincangkan perkembangan terkini AI.

Ketua Pegawai Eksekutif A3SEO yang mewakili Dimennet, Isaac Liu berkata, Malaysia dipilih sebagai lokasi pertama penganjuran forum berikutan ekosistem AI negara yang semakin matang, disokong pembangunan pesat pusat data, infrastruktur digital dan komitmen kerajaan dalam memacu ekonomi digital.

“Malaysia memiliki semua elemen penting untuk muncul sebagai hab AI perusahaan di ASEAN. Dengan pembangunan pusat data yang rancak, infrastruktur digital yang kukuh serta sokongan kerajaan yang konsisten, kami yakin negara ini berada pada kedudukan terbaik untuk menerajui transformasi AI di rantau ini.

“Atas faktor itu, Malaysia dipilih sebagai destinasi pertama AI Vision Forum sebelum diperluaskan ke negara-negara lain,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, kepelbagaian kaum dan bahasa di Malaysia turut memberi kelebihan dalam pembangunan penyelesaian AI yang lebih inklusif serta mampu memenuhi keperluan pelbagai pasaran serantau.

Isaac berkata, AI Vision Forum diwujudkan bukan sekadar memperkenalkan teknologi baharu, sebaliknya membantu organisasi memahami bagaimana AI boleh diaplikasikan secara praktikal dalam operasi harian.

Katanya, ramai pemilik perniagaan terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menyedari kepentingan AI, namun masih berdepan kesukaran memilih penyelesaian yang benar-benar memenuhi keperluan organisasi masing-masing.

“Dalam tempoh beberapa jam sahaja, peserta berpeluang melihat pelbagai penyelesaian AI, berinteraksi dengan penyedia teknologi dan mengenal pasti platform yang paling sesuai bagi mempercepatkan transformasi digital organisasi mereka,” katanya.

forum
Salah seorang speaker, Kenneth Siow dari syarikat INF Lightyear berucap pada forum tersebut.

Berbeza dengan kebanyakan persidangan AI yang lebih menumpukan aspek teori, AI Vision Forum 2026 memberi fokus kepada demonstrasi teknologi Agentic AI iaitu generasi baharu kecerdasan buatan yang mampu membuat penaakulan, merancang tindakan serta melaksanakan tugasan kompleks secara autonomi bagi meningkatkan produktiviti, kecekapan operasi dan proses membuat keputusan.

Forum itu menampilkan enam platform Agentic AI iaitu A3SEO, R2Y², RedSparks, CoASSIST, INF dan Duck Reels yang menawarkan pelbagai penyelesaian perusahaan termasuk automasi operasi, analitik data, pengoptimuman carian AI, tadbir urus AI serta pembangunan kandungan kreatif.

Penganjuran forum berkenaan turut disokong beberapa syarikat teknologi global seperti Oracle, Tencent Cloud, Cloudflare, Alibaba Cloud, BytePlus dan OceanBase, sekali gus memperkukuhkan kedudukannya sebagai platform yang menghimpunkan pemain utama dalam ekosistem AI dunia.

forum
Sebahagian speaker dan peserta yang menyertai forum ini.

Mengulas harapan terhadap forum itu, Isaac berkata kejayaannya tidak hanya diukur berdasarkan jumlah kehadiran peserta, sebaliknya melalui impak sebenar terhadap perusahaan dan pembangunan ekonomi negara.

“Visi kami adalah untuk menjadikan AI lebih mudah difahami, mudah diakses dan mudah dilaksanakan oleh organisasi tanpa mengira saiz perniagaan.

“Apabila lebih banyak perusahaan memanfaatkan AI secara praktikal, ia bukan sahaja meningkatkan daya saing syarikat, malah menyumbang kepada pembangunan ekosistem AI negara,” katanya.

Beliau berharap AI Vision Forum akan menjadi pemangkin kepada kerjasama lebih erat antara penyedia teknologi, perusahaan, pelabur dan pemain industri bagi mempercepat penggunaan AI dalam sektor perniagaan, sekali gus memperkukuhkan aspirasi Malaysia sebagai hab AI perusahaan dan ekonomi digital utama di ASEAN.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button