BERITA SEMASA

Lebih 200 peserta sertai Simposium ASEAN anjuran IKIM angkat nilai tamadun serantau

KUALA LUMPUR – Lebih 200 peserta terdiri daripada pembuat dasar, tokoh akademik, pemimpin masyarakat sivil, ilmuwan agama dan golongan belia dari seluruh rantau Asia Tenggara menyertai Simposium ASEAN 2025 anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dengan kerjasama Gerakan Kesedaran Rakyat Malaysia (WADAH), di Tamu Hotel & Suites, di sini, hari ini.Lebih 200 peserta sertai Simposium ASEAN anjuran IKIM angkat nilai tamadun serantau

 

Simposium bertemakan “Anchoring ASEAN’s Future in Shared Wisdom: Empowering Communities for an Inclusive and Sustainable Civilisation” itu diadakan bagi memperkukuh kerjasama dan kefahaman serantau berasaskan nilai, kebijaksanaan tradisi serta pendekatan akar umbi.

Majlis tersebut juga bertepatan dengan peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, dengan memberikan tumpuan kepada pemerkasaan komuniti dan pembinaan tamadun yang adil dan lestari melalui perkongsian nilai budaya serta agama.Lebih 200 peserta sertai Simposium ASEAN anjuran IKIM angkat nilai tamadun serantau

Ketua Pengarah IKIM, Prof Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil dalam ucapan perasmian menegaskan bahawa kekuatan ASEAN bukan hanya terletak pada aspek ekonomi semata-mata, tetapi juga berpunca daripada akar budaya, warisan agama serta kebijaksanaan tradisi yang telah membentuk jatidiri masyarakat rantau ini.

“Simposium ini bukan sekadar medan intelektual, tetapi penyatuan hati dan minda dalam membina peradaban ASEAN yang lebih adil, inklusif dan berteraskan nilai bersama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau lagi, usaha ini bukan semata-mata untuk mengenang masa silam, sebaliknya bertujuan menghidupkan kembali nilai-nilai itu sebagai kompas yang memandu arah masa depan ASEAN.

“Sepanjang program, peserta menyertai pelbagai sesi perbincangan yang memberi fokus kepada pengukuhan perpaduan komuniti, kerjasama pelbagai sektor serta pemulihan semula nilai-nilai tradisional dan agama dalam pembangunan sosial dan dasar serantau.

“Simposium berkenaan turut menjadi platform penting untuk menjalin hubungan antara golongan intelektual dan pemimpin akar umbi bagi merumuskan penyelesaian yang berpaksikan realiti tempatan dan sesuai diterapkan dalam konteks ASEAN secara menyeluruh,” katanya lagi.

Sementara itu, Presiden WADAH, Datuk Ahmad Azam Ab Rahman, menyifatkan penganjuran tersebut sebagai satu langkah proaktif dalam memperkasa komuniti dan membentuk kesedaran serantau berlandaskan pendekatan beretika dan ilmu pengetahuan.

IKIM dalam kenyataan turut mengulangi komitmennya untuk terus mempromosi dialog antara agama, mengukuhkan solidariti serantau serta mengangkat nilai tradisi sebagai panduan menangani cabaran masa kini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button