SIDANG Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) dari 26 hingga 28 Oktober 2025 mencatat sejarah baharu bukan sahaja bagi ASEAN, tetapi juga bagi Malaysia sebagai penggerak utama dunia multipolar.
Di bawah kepengerusian Datuk Seri Anwar Ibrahim, sidang ini memperlihatkan kemampuan Malaysia mengimbangi hubungan kuasa besar sambil memperkukuh kedudukan ASEAN sebagai blok yang berdaya saing, berdaulat dan dihormati.
Kehadiran Premier China, Li Qiang; Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa menyerlahkan keterbukaan ASEAN terhadap dunia selatan (Global South).
Lebih menarik, Kuala Lumpur turut menerima kunjungan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menjadikan ibu negara pusat diplomasi antarabangsa yang mempertemukan Timur dan Barat.
Dalam bukunya Rethinking Ourselves: Justice, Reform, and Ignorance in Postnormal Times, Anwar menegaskan bahawa dunia sedang bergerak daripada struktur unipolar kepada multipolar di mana kuasa menengah seperti Turki, Brazil, Indonesia dan Afrika Selatan muncul sebagai pemain berpengaruh.
Sidang kemuncak di Kuala Lumpur membuktikan ramalan tersebut apabila pemimpin utama BRICS hadir bersama-sama pemimpin ASEAN sekaligus menggambarkan Malaysia sebagai jambatan strategik antara blok kuasa dunia.
Anwar memperkenalkan pendekatan ‘principled navigation’ iaitu diplomasi berprinsip yang menolak sikap berpihak kepada mana-mana kuasa besar. Malaysia memilih untuk menjadi ‘bridge of values’ yang mempertemukan keadilan, kemanusiaan dan kedaulatan dalam hubungan antarabangsa.
Keseimbangan ini jelas apabila Anwar bertemu Donald Trump sehari sebelum bersarapan pagi bersama Li Qiang. Dalam Bloomberg Business Summit at ASEAN, beliau berseloroh:
“Don’t envy me… I could share frankly with Trump the pain of Gaza and tomorrow have breakfast with Premier Li Qiang. That shows Malaysia is a trading nation — we differ, but we won’t be dictated to. Our focus remains on national interests and economic fundamentals.”
Kenyataan itu menggambarkan dasar luar Malaysia yang bebas dan berpaksikan kepentingan nasional dengan mengekalkan hubungan baik semua pihak atas dasar saling hormat dan manfaat bersama.
Kehadiran tiga tokoh utama BRICS memperkukuh hubungan Malaysia dengan negara selatan global. Dalam sidang media bersama Lula da Silva, Anwar memuji ketegasan pemimpin Brazil itu memperjuangkan keadilan dan hak asasi manusia, khususnya isu Gaza dan perubahan iklim.
Kedua-dua pemimpin turut membincangkan kerjasama dalam perdagangan, tenaga, penyelidikan saintifik, pertanian dan teknologi makanan.
Dengan Presiden Ramaphosa pula, Anwar menyifatkan beliau sebagai “suara nurani dan keberanian” dalam memperjuangkan hak asasi di Afrika dan Gaza. Kedua-dua negara bersetuju memperluas kerjasama dalam pertahanan, halal, pertanian, semikonduktor dan pendidikan, bukan sekadar hubungan kerajaan ke kerajaan tetapi “pertemuan dua sahabat yang berkongsi cita dan prinsip sama.”
Sebagai penghargaan, Lula dan Ramaphosa masing-masing dianugerahkan Ijazah Kehormat oleh Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya sebagai simbol penghormatan Malaysia terhadap kepimpinan berprinsip dunia selatan.
Sementara itu, Premier Li Qiang membawa mesej kukuh komitmen China terhadap keamanan dan kemakmuran rantau ini. Dalam Sidang Kemuncak ASEAN–China, Anwar menegaskan:
“If people are curious, a day before we were with President Trump, and today we are back with China. That reflects ASEAN centrality.”
Pernyataan itu menegaskan keupayaan Malaysia mengekalkan prinsip ASEAN centrality dalam memastikan ASEAN kekal neutral dan relevan di tengah-tengah percaturan geopolitik dunia.
Li Qiang pula menegaskan kesediaan China memajukan Global Governance Initiative untuk keamanan dan pembangunan serantau, serta menyeru kepada reformasi sistem antarabangsa yang lebih adil. Malaysia dan China turut menandatangani ASEAN–China Free Trade Area (ACFTA) 3.0 Upgrade Protocol, yang bakal memperkukuh integrasi ekonomi rantau ini.
Kejayaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bukan sekadar meningkatkan imej diplomatik Malaysia, tetapi juga membuka ruang luas kepada perdagangan, pelaburan dan pasaran baharu di Asia, Afrika dan Amerika Latin.
Malaysia kini muncul sebagai negara berkecuali yang berprinsip dan dihormati kerana kebijaksanaan mendamaikan pelbagai kuasa besar tanpa mengorbankan kedaulatan.
Secara keseluruhannya, sidang ASEAN kali ini membuktikan kepimpinan Anwar Ibrahim berjaya menempatkan Malaysia sebagai kuasa sederhana berpengaruh, penggerak dunia multipolar dan penghubung strategik antara Barat dan Selatan Global.
Kuala Lumpur kini bukan sekadar hos ASEAN, tetapi nadi diplomasi baharu dunia, dunia yang dibina atas asas keadilan, hormat dan keseimbangan.
ARTIKEL OLEH
Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pembangunan),
Pusat Pengajian Antarabangsa, Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa UUM,
Prof Madya Dr Siti Darwinda Mohamed Pero
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








